Images
  • duckone
    Vivy Yusof dengan Paduka Seri Pengiran Anak Sarah. (Gambar: Instagram/ The Duck Group)

Apabila Vivy Yusof dan Puteri Brunei bergabung idea hasilkan skaf

BERITAMediacorp: Seringkali apabila bercakap tentang negeri Brunei Darussalam, gambaran minyak dan gas terlintas di fikiran. Namun, kini dengan minat dan keprihatinan mendalam Paduka Seri Pengiran Anak Sarah, terhadap pemberdayaan wanita menerusi fesyen, gambaran terdahulu tadi mungkin akan berubah.

Pengiran Anak Sarah, yang merupakan isteri kepada Putera Mahkota Muhtadee Billah, mungkin kini sudah menjadi idola dan inspirasi kepada ramai wanita di Brunei dengan usahanya untuk meraikan kehebatan wanita dengan membuatkan mereka rasa istimewa dan menghargai keperibadian wanita menerusi fesyen Muslimah.

Pada bulan April yang lalu, beliau buat pertama kalinya membuat satu kolaborasi bersama usahawan wanita Malaysia popular, Vivy Yusof, pengasas The Duck Group dan Fashion Valet, bagi menghasilkan empat koleksi skaf edisi terhad, The Royal Duck, menurut laporan akhbar Utusan Malaysia.


Laporan akhbar tersebut turut menambah bahawa penghasilan skaf itu merupakan satu cerminan perkongsian dan pendirian Pengiran Anak Sarah tentang interpretasinya terhadap kehebatan wanita pada hari ini. Edisi skaf terhad tersebut sudah mendapat sambutan hangat di kalangan wanita di Asia Tenggara, dan dijual dengan empat warna yang berbeza pada harga $140.


KISAH DI SEBALIK KOLEKSI THE ROYAL DUCK

Di setiap kisah perniagaan yang berjaya, tentu sekali ada ‘rahsia’ di sebaliknya. Ini tidak terkecuali bagi skaf koleksi The Royal Duck.

Vivy Yusof berkongsi bagaimana peluang keemasan untuk berkerjasama dengan seorang kerabat diraja itu datang apabila Pengiran Anak Sarah menghadiri acara Fashion Valet yang diadakan di daerah Muara timur Brunei pada bulan Jun pada tahun lepas.

"Kakitangan hotel memberitahu kami: 'Anak Pangiran Sarah akan datang.' Jadi kami sangat gugup,” kongsi Vivy kepada wartawan CNN.

Selepas acara tersebut, Vivy menemani Anak Pangiran Sarah ke tempat letak kereta, dan meluahkan hasratnya untuk membuat satu kolaborasi bersama bagi menghasilkan skaf.

“Beliau hanya tersenyum dan tidak banyak berkata. Pada waktu itu, saya tidak pernah terfikir ia akan berlaku,” kata Vivy kepada wartawan CNN.

Namun, Vivy menambah, ‘langkah beraninya’ itu membuahkan hasil. Ini kerana beberapa hari kemudian, Vivy mendapat panggilan telefon bahawa Pengiran Anak Sarah bersetuju untuk membuat kolaborasi tersebut.

“Pada hari pertama tempoh pra-pesanan yang berlangsung selama tiga hari sebelum hari pelancaran, laman Fashion Valet terganggu kerana kami mendapat sambutan hangat, orang ramai begitu teruja kerana ia merupakan sesuatu yang tidak biasa bagi seorang kerabat diraja untuk bekerjasama dengan sebuah jenama fesyen," tambah Vivy.


KOLABORASI DUA WANITA HEBAT DARIPADA DUA NEGARA BERBEZA

Apa yang pasti skaf yang mendapat sambutan hangat bukan sahaja kerana tujuan murninya untuk kaum wanita, dan lakaran lukisan warna-warninya yang menarik hati mereka, namun ia merupakan satu projek yang berjaya kerana hasil idea yang disumbangkan oleh kedua ikon wanita hebat daripada dua negara yang berbeza.


Vivy Yusof merupakan seorang usahawan Melayu muda yang sudah mencatatkan nama bukan sahaja di Asia malah di Eropah juga. Dengan mempunyai lebih daripada sejuta pengikut di Instagram, beliau turut merupakan seorang usahawan muda daripada 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia pada tahun ini.

Setiap edisi terhad skaf Duck yang dihasilkan oleh Vivy boleh dikatakan habis laris dijual baik di Singapura mahupun di luar negara. Sebagai contoh, edisi terhad Duckscarves bertemakan Kuala Lumpur yang berharga RM800 (S$266) sehelai habis dijual dalam masa 5 minit sahaja.

Pengiran Anak Sarah juag tidak kurang hebatnya. Beliau yang kini berusia 30 tahun - dilahirkan di Brunei. Bapanya merupakan seorang ahli sains dan ibunya pula merupakan seorang jururawat daripada Switzerland.

Pada tahun 2004, ketika beliau berkahwin dengan keluarga diraja pada berumur 17 tahun, ia merupakan perkahwinan terbesar ketika itu di Asia, dengan beberapa pemimpin negara daripada seluruh dunia yang hadir, termasuk Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan mantan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi.

Setelah berkahwin, Pengiran Anak Sarah melanjutkan pendidikannya, dilaporkan menamatkan pengajian dari universiti di Brunei dengan mendapat sarjana muda dalam dasar awam, dan berkhidmat sebagai kadet dalam tentera.

Namun, apa yang menariknya tentang beliau ialah walaupun beliau mempunyai kedudukan yang tinggi, ramai daripada mereka yang mengenalinya mendapati bahawa Pangiran Anak Sarah merupakan seorang yang sangat rendah diri.

“Apa yang membuatkan saya terperanjat tentang Pengiran Anak Sarah ialah beliau memandu keretanya sendiri ke mana-mana sahaja di Brunei. Beliau tidak suka mempunyai seorang pemandu. Beliau mengambil anak-anaknya sendiri daripada sekolah dan menghadiri acara-acara dengan sendiri, saya rasa itu merupakan seorang yang luar biasa bagi seorang yang datang daripada kerabat diraja,” kata Vivy.

Dengan gabungan personaliti dan keperibadian kedua wanita hebat ini, maka tidak hairanlah bagaimana skaf The Royal Duck menembusi pasaran dengan sekelip mata sahaja! 

- Agensi berita/UR/ru

Komen Anda?

Top