Images
  • legoland main'
    Taman permainan Legoland Malaysia. (Gambar: Facebook / Legoland Malaysia)

Anda ingin gabungan ‘staycation’ dan ‘luar negara’? Ini antara yang boleh anda pertimbangkan…

BERITAMediacorp: Adakah anda belum ada rancangan tetapi masih memikirkan mahu meluangkan masa bersama anak-anak anda semasa cuti sekolah ini? Atau anda sedang mengawal perbelanjaan, tetapi masih mashu bercuti ‘ke luar negara’?

Bercuti ke negara Asia lainnya atau Eropah memang mungkin lebih mahal dan mengambil masa yang lebih panjang.

Dengan itu, ‘staycation’ atau bercuti dalam negeri, semakin menjadi kegemaran ramai kerana tidak mengambil masa yang panjang dan tidak perlu perbelanjaan yang banyak.
Namun jika anda masih ingin ‘ke luar negara’ sambil ‘staycation’, mungkin anda masih boleh melakukannya! Iaitu berbuat demikian pada buat hujung minggu di Johor Bahru. Ini kerana ia sangat dekat tetapi masih di luar negara.

Kami bawakan beberapa cadangan hotel yang anda boleh inap dan kegiatan yang anda boleh lakukan bersama keluarga anda buat pada hujung minggu di Johor Bahru.

(Gambar Hotel Puteri Pacific. Gambar: Laman hotel Puteri Pacific)

THE PUTERI PACIFIC JOHOR BAHRU

Jika anda gemar mengunjungi kafe dan menikmati secangkir kopi, mungkin hotel ini sesuai untuk anda. Terletak kurang 15 minit dari pusat pemeriksaan Woodlands, hotel ini dikelilingi kafe di Johor dan anda boleh menikmatinya atau ‘café hopping’.

Ia terletak berdekatan Jalan Dobi dan Jalan Wong Ah Fook, yang terdapat banyak kafe dan restoran yang mungkin ingin anda cuba.

Bukan itu sahaja, hotel ini juga terletak bersebelahan Pusat beli belah City Square dan berdekatan dengan Pasar Karat. Jadi jika anda ingin membeli belah, inilah hotel yang mungkin dalam senarai pilihan anda.


(Gambar Legoland Malaysia. Gambar: Facebook / Legoland Malaysia)

LEGOLAND MALAYSIA RESORT

Kalau di Singapura, anda mungkin akan ke Universal Studios Sentosa bersama anak-anak anda. Di Johor Bahru pula, anda mungkin ingin ke Legoland Malaysia. Hanya 40 minit memandu dari Singapura (ibarat dari Jurong ke Changi), taman peranginan itu juga mempunyai hotel untuk anda menginap.

Pastinya, anak anda akan terhibur dengan pengalaman ke Legoland dan akan menceritakannya kepada rakan-rakan sepulangnya ke sekolah nanti.


(Bilik bertemakan Hello Kitty. Gambar: Laman Hotel Jen Puteri Harbour.)

HOTEL JEN PUTERI HARBOUR

Selain Legoland, jika anda seorang peminat Hello Kitty dan teman-temannya, anda juga boleh mengunjungi Sanrio Hello Kitty Town di Puteri Harbour, Johor Bahru. Banyak kegiatan yang anda boleh lakukan untuk meluangkan masa bersama anak-anak anda.

Tambahan pula, anda juga boleh menginap di Hotel Jen di mana terdapat beberapa bilik yang bertemakan Hello Kitty!


(Hotel dan pusat beli belah KSL City. Gambar: Facebook)

KSL CITY

Hotel dan pusat beli belah dalam satu bangunan yang sama. Amat senang sekali jika anda memang suka membeli belah. KSL Resort amat popular di kalangan warga Singapura. Hanya 20 minit perjalanan dari Pusat Pemeriksaan Woodlands menaiki kereta atau teksi, anda tiba ke destinasi anda.

Dianggap pusat sehenti, semua yang anda inginkan berada di bawah satu bumbung. Tempat penginapan, kolam renang, pusat beli belah dan juga panggung wayang.

Tambahan pula, setiap petang Isnin terdapat pasar malam yang dibuka sehingga malam!

- BERITAMediacorp/fa

Komen Anda?

Top