Images
  • r
    Muhammad Fairoz Abdul Rashed memegang aiskrim Durian Serawa, bersama rakan kongsinya, Katie Pohl. (Gambar sebelah: aiskrim perisa durian)

Anak Melayu S’pura jual SUSU unik di Amerika Syarikat

BERITAMediacorp: Jika anda mendengar perkataan ‘susu’, anda pasti mengaitkannya dengan produk-produk tenusu. Tetapi jangan tersilap, SUSU yang dimaksudkan ini adalah sebuah perniagaan menjual aiskrim oleh anak Melayu Singapura.

Lebih menarik lagi, aiskrim SUSU ini menawarkan perisa 100% Melayu iaitu aiskrim Ondeh-ondeh dan Durian Serawa dengan Mozzarella.

Berita buruknya ialah: ia tidak dijual di Singapura tetapi beribu-ribu kilometer jauh di Amerika Syarikat, di mana, majoriti penduduknya tidak pernah pun mendengar perkataan ‘susu’ sepanjang hidup mereka!

Di tengah-tengah kesibukan Farmer’s Market di Seattle, terdapat sebuah gerai menjual aiskrim gulung. Oleh kerana perisa-perisa yang ditawarkan sungguh unik dan pelik-pelik belaka, ramai yang sanggup beratur walaupun memakan masa sehingga dua jam. Semuanya hanya gara-gara aiskrim!

Gerai aiskrim yang dinamakan SUSU, dimiliki dan dibuka dua tahun lalu oleh seorang anak Melayu jati Singapura, Muhammad Fairoz Abdul Rashed, 27 tahun.

Aiskrim Apple Dill.

Selain perisa Ondeh-ondeh dan Durian Serawa, antara perisa lain yang ditawarkan oleh SUSU adalah Chendol dan Masala Chai serta bermacam-macam lagi.

Menurut Encik Fairoz dalam wawancara dengan BERITAMediacorp, beliau tidak teragak-agak memperkenalkan perisa-perisa aiskrim yang diadaptasikan daripada pencuci-pencuci mulut di rantau Asia. Ini memberi kelainan yang unik kepada aiskrim yang dijualnya dan hanya boleh didapati di gerainya.

MAKNA DISEBALIK NAMA ‘SUSU’

Bagi Encik Fairoz, beliau ingin nama yang unik dan senang diingati bagi para pelanggannya. Bukan sahaja penting untuk menarik perhatian para pelanggan. Malah, dengan memberi nama sedemikian - SUSU - ia memberi peluang kepada beliau untuk berkongsi tentang pencuci-pencuci mulut yang didapati di Asia Tenggara dan semestinya, digemari oleh rakyat Melayu Singapura.

“Saya tidak jemu menjawab soalan-soalan pelanggan. Malah saya anggap yang ia peluang untuk mempromosikan jenis-jenis pencuci mulut dan budaya kita. Setiap kali saya berbuat demikian, terubat juga rasa rindu saya dengan Singapura!” seloroh Encik Fairoz, yang masih lagi bujang, kepada BERITAMediacorp.

Walaupun sudah hampir dua tahun beliau berada di rantauan, jiwa raganya tetap bersama Singapura.

Aiskrim Tau Suan.

MENU ‘SUSU’ SEBAGAI PENGUBAT RINDU DENGAN S’PURA

Antara menu aiskrim menarik yang lain tawaran SUSU ialah Tau Suan, Pengat Pisang, Rose-Royce, Mo Fetta Mo Betta, Shades of Earl Grey dan Smore’s Fun.

Setiap dua hingga tiga minggu, Encik Fairoz akan mengubah dan memberi kelainan kepada menu SUSUnya. Ini supaya, para pelanggannya tidak jemu dan berasa seronok setiap kali melanggani gerainya itu.

Apabila ditanya BERITAMediacorp, mengapa beliau memperkenalkan perisa-perisa seperti Pengat Pisang dan Tau Suan, beliau menjawab bahawa ia adalah makanan kegemaran ibu bapanya.


Aiskrim Strawberi dan raspberi.

“Disebabkan saya tidak dapat bersama mereka Hari Raya Haji ini (tidak dapat pulang), saya mendedikasikan aiskrim Pengat Pisang dan Tau Suan kepada ibubapa saya.” kongsi Encik Fairoz.

RAMAI JATUH HATI DENGAN ‘SUSU’ MELAYU

Maklum balas yang diberikan oleh para pelanggannya mengenai perisa-perisa tersebut amat memberangsangkan. Walaupun ada segelintir yang teragak-agak untuk mencubanya, ramai lagi yang jatuh hati dengan rasanya.

Menurut Encik Fairoz, para pelanggannya di Seattle terutamanya generasi muda, lebih terbuka untuk mencuba perisa-perisa yang dianggap ‘baru’.

“Dahulu, orang ramai amat tradisional dengan makanan. Tetapi sekarang, ramai yang bersikap terbuka untuk menerima sesuatu yang kreatif dan baharu. Jadi, apa salahnya kalau kita eksperimen pelbagai perisa dan mencipta perisa yang lain daripada yang lain?

“Seperti perisa Durian Serawa dengan Mozarella. Mozarella memberikan sedikit tekstur dan kemasinan kepada aiskrim itu, jadi mengimbangkan rasa durian itu dengan baik,” tambah Encik Fairoz.

Encik Fairoz menambah, walaupun perisa-perisa yang diciptanya barangkali dianggap ‘merepek atau mengarut’ oleh sesetengah orang. Namun ramai yang masih sanggup beratur berjam-jam hanya untuk menikmati aiskrim unik itu.


Aiskrim Blue Cheese dengan Apricot.

AISKRIM ‘PELIK’ TETAPI BERKHASIAT DAN SEDAP

Tidak begitu manis, tetapi tetap sedap dimakan. Itulah visi Encik Fairoz.

Lazimnya, aiskrim-aiskrim yang didapati dalam pasaran amat menggemukkan dan mempunyai pengawet. Bagaimanapun bagi SUSU, segala bahan-bahan yang digunakan untuk membuat aiskrimnya, 100 peratus bahan asli dan berkualiti, ujar Encik Fairoz kepada BERITAMediacorp tentang satu lagi strategi keunikan aiskrimnya.


Beliau, yang di Singapura tinggal dengan ibu bapanya di Pasir Ris, malah begitu mengambil berat tentang bahan-bahan yang digunakannya kerana dia sendiri seorang ‘fitness junkie’. Oleh itu, segala bahan-bahan yang digunakan, dipastikan segar dan berkhasiat.

Setiap cawan aiskrim, bagi kesemua perisa yang ditawarkan SUSU, dijual pada harga USD$7 (S$9.50).

 

- BERITAMediacorp/na

Komen Anda?

Top