Images
  • Car Free Sunday
    Ahad Bebas Kereta akan diteruskan hingga 2018. (Gambar: Facebook / Lawrence Wong)

Ahad Bebas Kereta diteruskan hingga 2018

SINGAPURA: Inisiatif Ahad Bebas Kereta akan diteruskan sehingga tahun 2018.

Demikian diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong di laman Facebooknya hari ini (23 Okt).

Semasa Ahad Bebas Kereta, yang diadakan pada hujung minggu terakhir setiap bulan, jalan-jalan raya di kawasan pusat bandar ditutup kepada kenderaan. Ini bagi membolehkan beberapa kegiatan diadakan buat para pejalan kaki dan pengayuh basikal.

Menerusi catatannya, Encik Wong berkata sejak inisiatif itu dimulakan pada bulan Februari tahun lalu, "kami berbesar hati dengan respons memberangsangkan daripada masyarakat, dengan ribuan orang menyertai setiap edisi untuk menikmati jalan raya yang bebas kereta di tengah-tengah bandar kita".

Sebuah rangkaian baru Rakan Ahad Bebas Kereta SG juga akan ditubuhkan untuk "meneruskan sokongan kuat daripada masyarakat dan rakan-rakan korporat", tambah Encik Wong.

Mereka yang berminat boleh menunjukkan sokongan dengan menjadi rakan program Ahad Bebas Kereta SG dan menganjurkan kegiatan-kegiatan di jalan-jalan raya yang bebas kereta atau menyumbangkan kewangan atau sebarang tajaan, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menerusi satu kenyataan media.

Bagi Ahad Bebas Kereta SG 2018, orang ramai boleh menjangkakan "lebih banyak kerjasama dan program menarik" dengan enam edisi "menyeronokkan" pada bulan Januari, Mac, Mei, Julai, Oktober dan Disember, menurut URA.

Perinciannya sedang ditetapkan dan akan dikongsi apabila tarikhnya berhampiran dengan edisi yang akan dianjurkan.

Tahun ini, Ahad Bebas Kereta akan diadakan pada 29 Oktober dengan pelbagai kegiatan termasuk karnival tarian interaktif 'Got to Move Spotlight' anjuran Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam kegiatan berkaitan tarian seperti Berjalan dan Menari selama 30 minit di kawasan Pusat Bandar.

Mereka juga boleh menikmati pelbagai persembahan tarian dan bermain permainan di karnival itu.

Lebih 100 penuntut dari Politeknik Republik akan mengendalikan pondok-pondok larian untuk orang ramai mencuba kegiatan seperti latihan orang kuat 'strongman' atau Zumba.

Orang ramai juga boleh menyewa basikal Mobike, oBike dan ofo secara percuma. Setiap syarikat akan menawarkan 10 hingga 15 basikal yang boleh disewa percuma selama 30 minit.

Alat Mobiliti Peribadi juga dibenarkan di kawasan Pusat Bandar dan Telok Ayer Street. Para peserta boleh menaiki beca atau memilih untuk berjalan kaki. Sesetengah kafe di kawasan pemuliharaan Telok Ayer akan dibuka awal pada 29 Oktober.

Jalan-jalan raya berikut akan ditutup pada 20 Oktober: 


- CNA/NK/nk

Komen Anda?

Top