Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ada S$300 saja untuk bercuti September ini? Jangan khuatir, cuba ke tempat ini...

Lantaran itu, BERITAMediacorp mencadangkan kepada anda empat tempat yang boleh anda kunjungi bersama si kecil dengan harga yang murah untuk percutian dua hari satu malam - S$300 - tanpa mengambil kira kos pengangkutan dan belanja yang lain!

Anggaran Waktu Membaca:
Ada S$300 saja untuk bercuti September ini? Jangan khuatir, cuba ke tempat ini...

Pemandangan indah di perairan Batam. (Gambar: Facebook/ Turi Beach Resort)

BERITAMediacorp: Dengan cuti sekolah September bakal menjelang mulai hujung minggu ini, pastinya ramai daripada anda ingin mengadakan rancangan percutian ringkas.

Namun soalan-soalan seperti 'berapa hari mahu bercuti' atau 'mahal ke tidak', menjadi antara faktor yang harus dipertimbangkan. Mentelah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini.

Lantaran itu, BERITAMediacorp mencadangkan kepada anda empat tempat yang boleh anda kunjungi bersama si kecil dengan harga yang murah untuk percutian dua hari satu malam - S$300 - tanpa mengambil kira kos pengangkutan dan belanja yang lain!

1.TAMAN PERMAINAN BERTEMA 'ANGRY BIRD ACTIVITY PARK' JB

Salah satu kegiatan yang ada di taman permainan bertema di Komtar, permainan go-kart. (Gambar: Facebook/ Angry Birds Activity Park Johor Bahru)

Taman permainan bertema 'Angry Bird Activity Park' yang terletak di pusat beli-belah Johor Bahru, Komtar, dibuka setiap hari dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Meskipun dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan kegiatan yang jauh lebih besar dan pelbagai berbanding daripada taman permainan bertema yang ada di Singapura, harganya juga berpatutan.

Dengan harga RM280 (S$90) dikenakan bagi empat anggota keluarga, pastinya anak-anak anda akan terhibur dan rasa seronok mencuba kegiatan seperti berbasikal, go-kart dan banyak lagi di bawah satu bumbung.

Lebih menarik lagi, jika anda rasa penat untuk pulang ke rumah dan mahu bermalam di hotel berdekatan seperti Hotel Doubletree by Hilton, ia hanya menelan kos sekitar S$118 saja!

Kos keseluruhan: S$207

2.KEGIATAN LUAR, MENARIK DAN LASAK DI BINTAN

Para kakitangan Bintan Lagoon Resort bersama tetamu bermain bola sepak pantai di kawasan hotel itu. (Gambar: Facebook/ Bintan Lagoon Resort)

Di Bintan, Indonesia, anda bukan sekadar boleh menikmati suasana yang santai tetapi juga mencuba kegiatan-kegiatan luar dan lasak bersama seisi keluarga.

Jika anda memilih untuk menginap di hotel atau rumah peranginan seperti Bintan Lagoon Resort, anda boleh menikmati pelbagai kegiatan di kawasan hotel itu sendiri.

Sebagai contoh, jika anda memilih untuk mencuba perjalanan menunggang gajah selama setengah jam bersama keluarga anda (dua dewasa, dua kanak-kanak), anda hanya perlu membayar kira-kira S$150. Jika anda yang lebih lasak, mungkin anda boleh cuba bermain kenderaan bagi semua rupa bumi (ATV) selama setengah jam buat dua orang pada harga S$90.

Bilik-bilik hotel di resort berkenaan bagi satu malam saja bermula pada harga S$150 dan hotel tersebut juga dilengkapi dengan bilik khas yang boleh disewa mengikut jam pada harga S$30 saja untuk anda berkaraoke, bermain pool atau bermain permainan video juga.

Kos keseluruhan: S$210-S$300

Tips: Anda mungkin juga mahu menikmati makanan laut di luar hotel seperti di kelong-kelong tempatan bagi menjamu hidangan yang lebih segar dan jauh lebih murah!

3.BERSANTAI DI BATAM

Seseorang cuba menyertai kegiatan sukan air di pantai Batam. (Gambar: Facebook/ Turi Beach Resort)

Dikenali sebagai tempat wajib dikunjungi untuk anda bersantai, tidak hairanlah begitu ramai yang memilih untuk bercuti ke Batam. Mentelah lagi dengan belanjawan yang kecil, anda dapat melakukan banyak perkara.

Seperti kata orang ramai, tidak sah jika anda tidak berkunjung ke 'pusat spa' apabila berada di Batam. Satu tinjauan rambang mendapati satu sesi urut selama 120 minit hanya berharga secara purata S$40 saja!

Tambahan lagi dengan pelbagai pilihan hotel yang ada, iaitu hotel-hotel empat bintang seperti Novotel dan sebagainya, kadar sewa sebilik hanya berharga antara S$60 hingga S$120.

Selain itu, anda boleh melakukan kegiatan percuma tetapi tidak kurang hebatnya seperti bersantai di Pantai Nongsa dan menyaksikan matahari terbenam di Jambatan Barelang.

Kos keseluruhan: $160

Tips: Cuba ke pasar-pasar malam di sana bagi anda menikmati sendiri juadah tempatan unik yang dijual.

4.BERSERONOK DI SUNWAY LAGOON

Sepasang anak ayah bermain salah satu permainan di Sunway Lagoon. (Gambar: Instagram/ @marktusoy)

Siapa tidak tahu taman bertema Sunway Lagoon yang sudah berusia 25 tahun! Namun begitu, ia kerap menjalani kerja-kerja naik taraf dan kini mempunyai enam taman bertema kecil yang berbeza di sana.

Dipendekkan cerita, anda mempunyai pilihan lebih 90 permainan untuk cuba apabila anda berada di sana. Harga bagi sebuah keluarga (dua orang dewasa dan dua kanak-kanak) untuk menikmati enam taman itu hanyalah sekitar S$180.

Untuk anda yang ingin bermalam berdekatan dengan daerah itu, terdapat juga beberapa hotel lima bintang seperti Holiday Villa Hotel & Suites yang bermula dengan harga S$62!

Kos keseluruhan: S$242 

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan