Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 pereka fesyen sopan buat kemunculan pertama di Minggu Fesyen Singapura (SFW)

Buat julung-julung kalinya dalam sejarah Minggu Fesyen Singapura (SFW), hab e-dagang bagi pakaian sopan tempatan MODESTyle, mendapat tempat dalam acara tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Buat julung-julung kalinya dalam sejarah Minggu Fesyen Singapura (SFW), hab e-dagang bagi pakaian sopan tempatan MODESTyle, mendapat tempat dalam acara tersebut.

Dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), peluang tersebut diharap merancakkan peluang niaga dalam pasaran pakaian Muslimah bagi para pereka tempatan.

Para pereka fesyen sopan daripada Singapura, wakil daripada MODESTyle dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura. (Gambar-gambar: SMCCI)

PEREKA FESYEN SOPAN TEMPATAN BERPOTENSI TAPI KURANG PLATFORM

Fesyen busana sopan kini mendapat perhatian ramai, baik di Asia mahupun di negara-negara Barat. Namun, siapakah pereka fesyen busana anak watan Singapura?

Adakah mereka setanding dengan pereka fesyen busana sopan popular yang lain?

Dalam memberikan respons terhadap persoalan ini, MODESTyle memberitahu BERITAMediacorp bahawa ia akur terdapat ramai pereka fesyen tempatan yang berbakat.

Namun, daripada pengamatan mereka, cabaran yang dihadapi oleh pereka fesyen sopan ialah kekurangan kesempatan bagi mereka memperagakan hasil rekaan mereka di pentas antarabangsa.

Dengan platform yang disediakan di SFW, MODESTyle berharap ia dapat menjadi batu loncatan untuk pereka fesyen sopan tempatan untuk melebarkan sayap mereka ke luar negara.

FESYEN SOPAN TERUS BERKEMBANG WALAU EKONOMI DUNIA TIDAK STABIL

Apabila ditanya oleh BERITAMediacorp tentang masa depan pereka dan industri fesyen sopan pada lima tahun akan datang, Pengurus Perniagaan MODESTyle, Cik Azreena Abdullah percaya bahawa bidang tersebut akan terus berkembang kerana respons yang semakin meningkat.

"Fesyen Muslimah ini akan sentiasa meningkat kerana fesyen Muslimah ini industri yang bernilai $250 bilion pada masa kini.

"Walaupun ekonomi tidak terlalu kuat pada jangka masa ini, kita tetap mendapati bahawa fesyen Muslimah ini sentiasa berkembang dalam tahun-tahun kebelakangan ini," kongsinya.

GAYA SOPAN TIDAK SEMESTINYA 'BORING'

Pereka fesyen tempatan yang akan menyerikan acara termasuk Feayn, Charisma, Ayra Safiyyah, Adrianna Yariqa dan Kaifiyyah.

Apabila ditemui dalam sidang media semalam (19 Okt) kesemua mereka berkongsi bahawa mereka rasa bangga dan teruja dapat berkongsi satu pentas bersama pereka fesyen terkemuka yang lain.

Kat Aziz, pengasas Kaifiyyah, misalnya yang hanya memulakan perniagaannya dengan menjual tudung labuh pada 2013 berkongsi peluang keemasan yang diberikan ini memberikan suntikan semangat untuk terus memajukan perniagaan fesyen sopan dengan menonjolkan gaya kreatif dan segar pada masa depan.

"Saya amat teruja dapat berkongsi pentas bersama pereka-pereka dari Singapura dan juga luar negara.

"Sebagai seorang pereka pakaian, saya memberi fokus kepada wanita yang ingin menutup aurat tetapi tetap bergaya kerana pada saya fesyen gaya sopan ini tidak semestinya cenderung kepada baju yang berwarna hitam, jubah atau yang 'boring'," tambahnya.

FESYEN SOPAN BUKAN UNTUK MASYARAKAT MUSLIM SAHAJA

Bagi pengasas Adrianna Yariqa, Cik Nurlida Yusof, pula beliau melihat potensi besar dalam industri pakaian Muslimah termasuk mampu memenuhi cita rasa pasaran global.

"Fesyen sopan ini sangat "versatile" (serba boleh). Dalam media sosial juga ada banyak fesyen sopan. Pereka Hollywood turut melakukan fesyen sopan, macam Dolce Gabbana, mereka pun buat fesyen sopan.

(Gambar: Petikan skrin daripada laman sawang Adrianna Yariqa)

"Fesyen sopan sekarang bukan sahaja untuk Muslim, Muslimah, ia turut untuk mereka yang bukan Muslim," tambah beliau.

Pertunjukan fesyen MODESTyle kali ini akan menampilkan 30 rekaan fesyen, aksesori dan jenama kecantikan daripada Dubai, Turki, China, Indonesia, Malaysia dan Brunei.

SFW akan bermula pada 25 Oktober dengan pertunjukan fesyen MODESTyle berlangsung pada 28 Oktober di Galeri Nasional Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan