4 Muslim kumpul derma untuk selamatkan anjing yang dilanggar kereta
Sekumpulan empat sahabat di Malaysia, tanpa mengendahkan stigma masyarakat, berusaha mengumpulkan derma daripada orang ramai bagi kos merawat seekor anjing yang kakinya patah.
KUALA LUMPUR: Sekumpulan empat sahabat di Malaysia, tanpa mengendahkan stigma masyarakat, berusaha mengumpulkan derma daripada orang ramai bagi kos merawat seekor anjing yang kakinya patah.
Mereka berempat – Ziezie Zeyta, Hidayah, Syafiq dan Syikin, membawa anjing malang tersebut ke klinik setelah haiwan itu dikatakan sengaja dilanggar sebuah kereta di tepi jalan, menurut Malay Mail Online.
Ziezie Zeyta dalam catatan di Facebooknya berkata beliau sedang meletak kereta pada malam Jumaat lalu (3 Mac), apabila ternampak sebuah kereta melanggar anjing malang itu dengan sengaja.
“Padahal anjing ini berdiri di bahu jalan, bukannya melintas jalan pun,” tulis Cik Ziezie di Facebooknya.
ANJING TERBARING LEMAH, LEBAM-LEBAM
Cik Ziezie turut memuat naik gambar-gambar anjing malang itu sedang terbaring lemah dengan lebam-lebam kelihatan di seluruh tubuhnya.
Beliau menambah, beliau lalu menelefon rakannya, Syikin, seorang penyelamat haiwan yang berpengalaman, untuk meminta bantuannya menyelamatkan haiwan itu, yang katanya tidak dapat bergerak dan lebih menyedihkan, sedang meraung kesakitan.
Bagaimanapun, Cik Syikin tidak menjawab panggilan telefon kerana ketika itu hari sudah lewat malam dan beliau sudah tidur.
Mujur, keesokan harinya, Cik Ziezie bersama Cik Syikin dan rakan-rakan mereka Syafiq dan Hidayah, pergi ke lokasi di mana ibu anjing tersebut dan anaknya merayau-rayau mencari makanan sebelum ini.
“Alhamdulillah petang tadi (Sabtu) Syikin datang selamatkan anjing itu. Sementara menunggu Syikin, saya cuba berinya makanan dan sedikit air,” tulis Cik Ziezie.
Namun, mereka berempat tidak mempunyai cukup wang untuk membiayai kos rawatan RM1,500 (S$476) bagi anjing tersebut, yang perlu menjalani pembedahan, diberikan ubat dan dimasukkan ke dalam wad selama seminggu.
Oleh itu, mereka meminta belas kasihan orang ramai untuk tampil menyumbangkan derma untuk menyelamatkan anjing tersebut, menerusi laman Facebook Cik Ziezie.
Cik Ziezie dalam catatan meminta derma tersebut turut memuat naik gambar-gambar anjing betina itu menjalani imbasan X-ray dan kakinya lebam-lebam.
“Mohon jasa baik anda semua untuk memberi sedikit sumbangan kepada kos rawatan anjing ini melakukan operation dan wad. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik anda semua,” tulis Cik Ziezie.
BERJAYA KUMPUL CUKUP DERMA
Mujur, dalam komennya yang ditulis pada catatan itu pada 12.40 tengah malam semalam (6 Mac), Cik Ziezie memaklumkan para netizen bahawa sumbangan derma yang diterima mereka sudah mencukupi.
Anjing betina tersebut dijadualkan menjalani pembedahan hari ini (7 Mac) sementara menunggu bengkak pada kakinya susut, katanya dalam status terkini malam semalam.
(Gambar-gambar: Facebook/Zizie Zeyta)
Langkah empat sahabat tersebut mendapat pujian daripada para netizen.
Pengguna Facebook, Eren Shafie menulis: “Alhamdulillah.. Tahniah untuk awak, saya bangga dan terharu sebab niat awak baik dan mulia.. saya suka manusia yang sayang kan binatang.. (salute).”
MekXc Zaaramyaqayra Tj pula menulis: “Tahniah kak Ziezie Zeyta dan yang terlibat.. satu contoh yang baik untuk membuka mata masyarakat... semoga anjing tersebut cepat sembuh.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.