Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

3 pilihan makanan sihat lagi halal ini ada di S’pura! Lebih menarik dan enak. Ini dia…

Makanan yang sihat biasanya dikaitkan dengan makanan yang membosankan dan mendatar. Mungkin jika anda dengar frasa ‘makanan sihat’, apa yang tercetus dalam kepala anda ialah makanan ala hidangan salad yang ‘boring’ atau membosankan kerana bertimbun dengan sayur-sayuran dan kurang berperisa.

Anggaran Waktu Membaca:
3 pilihan makanan sihat lagi halal ini ada di S’pura! Lebih menarik dan enak. Ini dia…

YOLO menyediakan pelbagai hidangan sihat bagi setiap golongan. (Gambar: YOLO)

BERITAMediacorp: Makanan yang sihat biasanya dikaitkan dengan makanan yang membosankan dan mendatar. Mungkin jika anda dengar frasa ‘makanan sihat’, apa yang tercetus dalam kepala anda ialah makanan ala hidangan salad yang ‘boring’ atau membosankan kerana bertimbun dengan sayur-sayuran dan kurang berperisa.

Tapi yang ini bukan! Yang ini lain daripada yang lain! Yang ini boleh dikatakan ‘happening!’ atau dalam erti kata lain ‘menarik dan lazat’. Makanan sihat bukan sahaja dihidangkan dengan penuh variasi, malah ia juga menyelerakan serta tanpa jumlah kalori yang tinggi!

Padat dengan nutrisi yang penting bagi tubuh, hidangan-hidangan sihat yang disediakan ini juga memberi pilihan kepada para pelanggan untuk memilih sendiri bahan-bahan yang mereka inginkan.

Dengan ini, mungkin masyarakat Melayu boleh mengurangkan sedikit ‘krisis kencing manis’ yang sedang membelenggu kita, sebagaimana disebut Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan baru-baru ini. Beliau mendedahkan bahawa 50 peratus daripada orang Melayu yang berusia 60 tahun ke atas, sebenarnya menghidap penyakit manis kerana antara lain ‘tidak jaga makan minum kita’.

Oleh itu, BERITAMediacorp menyenaraikan tiga jenama makanan yang sedap dan sihat lagi halal, yang dapat anda cuba demi gaya hidup lebih sihat.

YOLO - MAKANAN SIHAT UNTUK SEMUA

Terletak di daerah pusat perniagaan (CBD) berhampiran stesen MRT Tanjong Pagar, restoran YOLO menawarkan hidangan antarabangsa sihat dan enak yang dapat dinikmati setiap golongan masyarakat.

Tidak terhad pada makanan sihat ala-ala Barat seperti 'Salmon Quinoa Pancake' dan 'Beef Steak', YOLO turut menyediakan hidangan Asia termasuk sajian 'Veggie Curry' dan 'Coconut Chicken'.

Malah, pelanggan juga dapat melihat jumlah kalori makanan - tidak kira sama ada semasa membeli di cawangan mahupun memesan dari lamannya sendiri.

Pengasas YOLO, Alexis Baundin memberitahu BERITAMediacorp: "Konsep utama kami adalah untuk menyediakan makanan sihat untuk semua. Malah, selepas kami diberi sijil Halal, bisnes kami meningkat sehingga 30 peratus.

"Pasaran makanan sihat juga kian meningkat. Saya dapat melihat semakin ramai yang lebih prihatin tentang kesihatan mereka," katanya lagi, yang pernah menyertai rancangan Apprentice Asia dengan Tony Fernandes.

Yang menariknya, YOLO turut menyediakan hidangan yang dapat memenuhi keperluan pelbagai golongan masyarakat. Termasuk bagi mereka yang ingin langsing, membina otot, meningkatkan tenaga mahupun yang inginkan kulit cantik.

"Kami mahu menjadikan cara pemakanan sihat lebih menarik dan mudah didapati bukan sahaja bagi golongan aktif, tetapi bagi orang ramai yang mahu makan secara sihat tanpa menjejas rasanya yang enak," kongsinya lagi kepada BERITAMediacorp.

(Gambar-gambar: YOLO)

Bahkan, dengan lebih 40 hidangan yang disediakan dan pilihan BYO (Build Your Own) atau buat hidangan sendiri, YOLO juga menawarkan lapan jenis pilihan kombinasi hidangan harian untuk memenuhi enam sasaran kalori, iaitu dari 1,250 hingga 2,450 kalori.

Selain boleh dinikmati di cawangannya di Icon Village dan melalui penghantaran dari Ubereats, Deliveroo, Foodpanda dan Honestbee, YOLO juga akan membuka cawangan 'take-away' di Star Vista menjelang September ini.

DOSIRAK - NASI 'GONCANG' KOREA

DoSiRak- Hidangan sihat yang dibungkus ala-ala dalam tab aiskrim dan hanya perlu digoncang!

Cawangan DoSiRak menyediakan makanan sihat Korea yang disertakan dengan hidangan yang dimasak seimbang, lengkap dengan kandungan protein, karbohidrat dan sayuran.

Terletak di China Square Central, cawangan 'take-away' DoSiRak juga menyediakan hidangan kombinasi yang ditetapkan, yang turut mengandungi jumlah bawah 500 kalori bagi setiap hidangan, dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan pakar nutrisi yang bertauliah.

Setiap hidangan DoSiRak juga disertakan dengan 1 makanan asas, 5 pilihan sampingan dan 1 protein. Penghantaran makanan juga boleh dibuat melalui khidmat Ubereats, Foodpanda dan Honestbee.

(Gambar-gambar: DoSiRak/Facebook)

Yang menariknya, para pelanggan juga dapat merancang hidangan mereka sendiri! Mereka hanya perlu memilih dari hidangan asas mi sejuk, tauhu, nasi perang, kubis merah hingga ke nasi kubis.

Kemudian, pelanggan boleh memilih sayur-sayuran antaranya dari cendawan, lobak merah, tauge, bayam, timun, kubis merah dan putih, bawang dan jagung.

Sesudah itu, pelanggan juga hanya perlu memilih daging Bulgogi, ayam bijan berkicap atau pedas, itik, salmon atau tuna.

Akhir sekali, tutup ala-ala tab aiskrim itu dan goncangkan sahaja sebelum hidangan itu dinikmati!

Bagi peminat salad dan 'wrap', pastinya inilah berita yang menggembirakan dan dinanti-nantikan.

Simply Wrapps adalah rangkaian kafe salad dan 'wrap' pertama yang diberikan sijil Halal di Singapura sekitar enam bulan lalu.

Dengan tujuh cawangan yang disediakan di sekitar kawasan Singapura, Simply Wrapps turut menawarkan hidangan antarabangsa yang sihat dan enak dalam bentuk 'wrap' atau salad.

Malah, rangkaian itu juga menyediakan minuman yang sihat termasuk jus 'cold press' dan minuman panas organik yang diperbuat daripada 100 peratus kopi Arabica dan teh organik.

(Gambar-gambar: Simply Wrapps/Facebook)

Dengan cara yang sama seperti cawangan lain juga, para pengasas Simply Wrapps juga berhasrat untuk menjadikan makanan dan minuman yang sihat dan menyelerakan suatu yang berpatutan dan mudah didapati orang ramai.

Yang pasti, kini terdapat lebih banyak cawangan serta wadah untuk mendapatkan dan menikmati makanan yang padat dengan nutrisi demi gaya hidup yang lebih sihat.

Siapa kata makanan sihat itu membosankan? Belum cuba, belum tahu! 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan