Images
  • Yuna tunang

Yuna selamat bertunang dengan Adam Sinclair di Shah Alam

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Yunalis Zarai atau Yuna hari ini (5 Ogos) mengikat tali pertunangan bersama jejaka pilihannya Adam Yousof Mohamed Sinclair di kediaman ibu bapanya di Shah Alam.

Menurut kenyataan Yuna Room Records, majlis pertunangan penyanyi yang berkelana ke Amerika Syarikat itu bersama adik kepada pelakon Ashraf Sinclair dan hos televisyen dan radio Aishah Sinclair hanya dihadiri keluarga terdekat dan sahabat rapatnya.

Penyanyi berusia 30 tahun itu menyifatkan majlis itu sebagai saat yang sangat manis dalam hidupnya kerana ia merupakan langkah pertama dalam hubungan cinta mereka untuk hidup bersama selain bersyukur bertemu insan yang sangat penyayang dan baik hati seperti Adam Sinclair, 32.

 “Kami sekeluarga sangat gembira dapat berjumpa dan bermesra dengan seluruh keluarga Adam. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang selalu mendoakan kebahagiaan saya. Berkat doa mereka, hari ini saya selamat bertunang dengan Adam Sinclair.

“Percaturan Allah itu memang sungguh indah, Adam merupakan rakan karib saya dan sepanjang perkenalan kami, dia mewarnai hidup saya dan buat saya senyum dan ketawa. Saya gembira akan bergelar isteri kepadanya satu hari nanti, insya-Allah,” kata pelantun lagu Dan Sebenarnya itu.

Yuna yang pernah berduet bersama penyanyi Usher melalui lagu ‘Crush’ mula mengenali Adam Sinclair seorang direktor di set rakaman untuk iklan televisyen pada awal tahun 2013 sebelum mula rapat pada akhir 2015.

Perancangan untuk bertunang bermula selepas upacara merisik yang dijalankan pada 27 Mac lalu.

- BERNAMA/FA/fa

Komen Anda?

Top