Images
  • awie
    Awie. (Gambar: Instagram/Awie)

Wings kini hanya bertiga, Joe undur diri

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock legenda Wings kini bertiga dan bukan lagi berempat.

Ini disahkan oleh vokalis kumpulan itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, yang mengatakan mereka sekumpulan sudah bersemuka dan menyelesaikan masalah yang membelenggu kugiran tersebut.

"Joe sudah menubuhkan kumpulan sendiri dan saya juga baru tahu mengenainya," kata Awie seperti yang ditukil laman MalaysiaKini.

"(Perpisahan) ini adalah persetujuan bersama, tapi tak mengapa sebab Joe hanya seorang pemain gitar dan terdapat berlambak pemuzik baru yang berbakat," tambah beliau.

Awie, 49 tahun, ditemui wartawan dalam satu sidang media bagi pengumuman konsert Wings & Superfriends - Belenggu Irama di Istana Budaya Kuala Lumpur semalam (1 Mac).

Konsert itu adalah bagi meraikan dan mengumpulkan sumbangan derma buat bekas pemain dram kumpulan Search, Yazid, serta memperjuangkan nasib artis-artis lain.

Kumpulan Wings yang turut dianggotai Eddy sebagai pemain bass dan Black pemain dram, ditubuhkan pada sekitar tahun 1987, lapor MalaysiaKini.

Setelah menarik diri dari Wings, Joe dikatakan menubuhkan sebuah kumpulan baru iaitu Prime Domestic.

Krisis kumpulan tersebut mula mendapat perhatian semasa Konsert Wings 30 tahun 'Live' @ Kota Kinabalu ditunda.

Laporan-laporan media menyatakan ketiga-tiga anggota Wings sudah berpatah arang dengan Joe.

Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir disebut antara punca konsert yang sepatutnya berlangsung di Stadium Likas, Sabah pada 24 Disember lalu, ditunda.

Sekalipun begitu, Awie tidak mahu menjelaskan lebih lanjut alasan sebenar kumpulan itu berpecah, lapor MalaysiaKini.

"Buat apa saya membuka pekung orang sedangkan aib sendiri nanti tidak terjaga.

"Kami cuma mahu mencari kelainan dan dalam perancangan ingin menghasilkan sebuah single tidak lama lagi," kongsi Awie.

Apabila ditanya mengenai khabar yang boleh membuat para peminat kecewa, Awie hanya berkata keputusan itu tidak melemahkan kugiran itu.

"Kekuatan Wings bukan terletak atas individu tetapi nama kumpulan.

"Kami juga akan tetap teruskan konsert di Sabah dan mungkin ada pemain gitar sessionist dalam setiap persembahan," katanya.

- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top
>