Images
  • ed sheeren
    Gambar fail penyanyi dan penulis lagu, Ed Sheeran. (Gambar: Reuters) 

Tiket konsert Ed Sheeran: Sistem beroperasi tanpa sebarang masalah teknikal, kata Hab Sukan

SINGAPURA: Peminat Ed Sheeran yang marah menyalahkan masalah teknikal dengan sistem tiket Hab Sukan Singapura, selepas mereka tidak dapat tiket untuk persembahan penyanyi-penulis lirik asal Britain di Singapura.

Pada Khamis (11 Mei) petang, Hab Sukan mengesahkan bahawa sistem tiketnya beroperasi " tanpa apa-apa isu-isu teknikal dan dapat menguruskan permintaan yang tinggi", pengarah kanan komunikasi korporat Chin Sau Ho menyatakan dalam satu kenyataan kepada Channel NewsAsia.

Tiket untuk konset Ed Sheeran habis dibeli dalam masa 10 minit selepas ia dikeluarkan pada 10.00 pagi pada hari Khamis.

Penganjur konsert, AEG Presents Asia, menawarkan konsert kedua dengan segera, yang juga habis dibeli seawal 11.30 pagi.

Para peminan yang tidak dapat tiket konsert tersebut menyatakan bahawa mereka mengalami isu teknikal sementara menunggu giliran mereka di "bilik menunggu" maya sistem tiket, atau ketika mereka sedang cuba untuk membayar untuk tiket mereka secara online.

Isu tiket ini mencermin masalah sama dialami peminat yang tergesa-gesa membeli tiket konsert Coldplay, yang dikeluarkan pada November lalu.

Sekali lagi, peminat yang marah meninggalkan komen di laman Facebook Hab Sukan Singapura.

Dalam kenyataanya, Encik Chin menyatakan bahawa "bilik menunggu" maya sistem tiket diaktifkan apabila tiket mula dijual.

Beliau menerangkan bahawa ciri itu digunakan untuk mengawal lalu lintas laman web apabila terdapat permintaan yang tinggi, dan membolehkan pelanggan yang berada dalam proses membeli tiket untuk menyelesaikan transaksi mereka.

Namun, seorang peminat memberitahu Channel NewsAsia bahawa beliau juga mengalami masalah dalam "bilik menunggu" maya.

Eksekutif pematuhan Audrey Goh berkata, dia berjaya memilih tiket selepas masuk ke laman itu pada tepat pukul 10.00 pagi.

Namun sistem memperuntukkan kepada beliau tiket Kategori 5 dan bukan tiket Kategori 4 seperti yang dipilih pada awalnya.

Tiket untuk konsert itu mula timbul di platform seperti Carousell dan Viagogo.

Semakan di Viagogo menunjukkan bahawa tiket Kategori dua - biasanya berharga S$208 - dijual sebanyak S$2,427.63 bagi sekeping tiket.

Terdapat ramai penjual semula di Carousell, dengan salah satu dari mereka menjual tiket Kategory 1 dengan harga S$4,800.

Hab Sukan memberi amaran bahawa ia tidak membenarkan tiket dijual semula dari ejen yang tidak sah.

"Walaupun tidak ada undang-undang di Singapura untuk mencegah berlakunya kejadian itu, terma dan syarat-syarat jualan kami melarangnya, dan ia boleh membawa kepada penyitaan atau pembatalan tiket tanpa bayaran balik atau pampasan yang lain," katanya. 

- CNA/ns

Komen Anda?

Top