Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tik Tik Tik batu loncatan Aaron berlakon filem Tamil

Selepas beberapa kali berpeluang membintangi filem Hong Kong, Aaron Aziz kini menimba pengalaman berlakon dalam naskhah terbitan luar negara apabila dilamar syarikat penerbitan dari India pula.

Anggaran Waktu Membaca:
Tik Tik Tik batu loncatan Aaron berlakon filem Tamil

Aaron Aziz bersama pelakon utama filem Tik Tik Tik, Jayam Ravi. (Gambar: Aaron Aziz/ Instagram)

Diterbitkan : 08 Mar 2017 11:18AM Dikemas Kini : 08 Mar 2017 11:19AM

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali berpeluang membintangi filem Hong Kong, Aaron Aziz kini menimba pengalaman berlakon dalam naskhah terbitan luar negara apabila dilamar syarikat penerbitan dari India pula.

Kini berada di Chennai, India, Aaron terlibat dengan penggambaran filem Tamil berjudul Tik Tik Tik, arahan Shakti Soundar Rajan, dalam petikan laporan Berita Harian Malaysia.

Menurut pelakon yang membintangi Ombak Rindu itu, filem bergenre cemas itu berkisar pada kejadian yang berlaku di angkasa. Dirinya pula diberikan watak antagonis bernama Kapten Li Wei.

Aaron yang akan berada di negara itu selama 24 hari berkata pihak Astro terlebih dulu membuat kajian mengenai penerbitan filem berkenaan sebelum tawaran mereka diterima.

"Tawaran ini sebenarnya bermula selepas produksi filem terbabit berhasrat mencari watak antagonis dari luar India. Sebelum itu, sebuah syarikat, Tara Global, dari India yang dimiliki sepasang suami isteri, Ria dan Sri Khan, turut mengesyorkan nama saya bagi menjayakan watak terbabit kepada produksi filem berkenaan.

"Ria kebetulan berasal dari Malaysia, tetapi menetap di India bersama suaminya. Jadi dia turut mengambil tahu perkembangan seni saya di Malaysia dan Singapura," katanya yang berharap peluang berkenaan dapat membantunya mengembangkan lagi kerjaya lakonan ke peringkat global.

Menurut Aaron yang juga berlakon dalam drama Isteri Tuan Ihsan ini, beliau akan beraksi dalam 15 babak.

Dalam tukilan laporan Berita Harian Malaysia, menerusi artikel yang dikongsi oleh Aaron di laman sosial miliknya, pengarah filem tersebut menyifatkan pemilihan beliau itu tepat untuk menghidupkan watak jahat berkenaan.

"Sebelum ini, kami mencari pelakon yang dapat memenuhi kriteria yang diinginkan. Aaron dilihat bertepatan kerana dia terkenal di Malaysia dan Singapura.

"Ada filem lakonannya yang mendapat kutipan tinggi di pawagam. Beliau juga mempunyai kelompok peminat yang ramai," kata Shakti.

Selain Aaron, filem berbajet besar itu turut dibintangi pelakon terkenal India seperti Jayam Ravi dan Nivetha Pethuraj. Ia dijadualkan menemui penonton pada tahun ini juga, menurut Berita Harian Malaysia. 

Sumber : Agensi berita/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan