Images
  • sufi main
    Penyanyi popular Sufi Rashid. (Gambar-gambar: Sufi Rashid/Facebook)

Sufi Rashid lega: Konflik “antara saya dan ibu sudah reda sekarang”

BERITAMediacorp: Apakah penyanyi popular Sufi Rashid akan mendapat kemenangan besar kali ini setelah mendapat enam pencalonan dalam Anugerah Planet Muzik 2017?

Sejauh manakah konflik keluarga Sufi - yang pernah mendapat perhatian meluas media Singapura dan Malaysia - akan menjejas populariti beliau untuk empat kategori popular APM tahun ini?

Jawapannya dan kesannya akan diketahui dua minggu dari sekarang apabila APM 2017 berlangsung 14 Oktober ini di Teater MES, Mediacorp.

SUFI DENGAN 6 PENCALONAN

Sufi menerima 6 pencalonan. 4 pencalonan beliau adalah untuk kategori popular yang ditentukan oleh undian peminat sahaja di toggle.sg/apm. Bagi kategori ‘popular’, beliau dicalonkan untuk Artis Paling Popular (Singapura), Lagu Paling Popular Singapura (Aku Sanggup), Lagu Paling Popular APM (Aku Sanggup) dan Artis Paling Popular APM.


Sebelum ini, Sufi pernah memenangi 3 Anugerah termasuk dua kategori popular APM iaitu Lagu Paling Popular 2016 dan Artis Paling Popular 2016 (Singapura).

IBU SUDAH “TIDAK MARAH-MARAH LAGI”

Bukan pertama kali konflik antara Sufi dengan ibunya, Irma Suriana Mahamud, diketahui melalui media sosial setelah ibunya bertindak memuat naik status di Facebook mengenai konflik mereka sebelum ini.

Sekitar Julai lalu, ibunya turut berbuat demikian sekali lagi sehingga mengundang pelbagai reaksi peminat serta netizen terhadap konflik antara Sufi dan ibunya.

Namun, Sufi Rashid yang kini popular menerusi lagu Aku Sanggup tetap ingin merahsiakan butiran terperinci mengenai konflik antara mereka berdua.

Sufi pernah menangis apabila diwawancara wartawan dari rancangan popular TV3, Melodi, sekitar dua bulan lalu.

“Ia antara ibu, anak (Sufi) dan keluarga (adik-beradik). Tidak ada kena mengena dengan kerjaya saya. Ibu kongsikan pendapat dia. Ramai yang tanya. Saya pun tak akan kongsikan. Ia sangat-sangat peribadi tentang keluarga. Orang kalau dengar pun akan terkejut,” terang penyanyi muda itu.


Meskipun tetap merahsiakan inti pati konflik tersebut, Sufi akui mengetahui amarah ibu terhadapnya apabila ibunya memuatnaikkan status di Facebook ibunya tidak lama dahulu.

Kata Sufi: “Saya tau. Ia melibatkan kata-kata, ayat yang tak baik. Antara saya dan ibu dah reda sekarang. Dia pun dah tak post bukan-bukan. Saya tak nak post apa yang dia post sebab nanti orang yang tak tau akan tau. Nanti dia marah lagi'.

Jelas Sufi yang turut mengambil bahagian dalam rancangan realiti Akademi Fantasia Megastar 2017 kini tiada lagi permasalahan antara mereka. Kalau boleh, Sufi tidak mahu 'apikan lagi perkara' tersebut.

Kongsinya lagi, adiknya telahpun khabarkan kepada Sufi bahawa ibu mereka sudah tidak marah-marah lagi kini.

'Konflik saya dan ibu dah reda. Boleh dikatakan akan selesai tak lama lagi. Kalau kita bergaduh, kita akan selesaikan. Tak pernah sekali tidak diselesaikan. Saya selalu akan berjumpa dia 'face to face’ (bersemuka),” katanya panjang lebar.


POPULARITI SUFI TERJEJAS?

Sungguhpun demikian, tidakkah Sufi bimbang jika konflik keluarga itu akan masih menjejas populariti beliau untuk empat kategori ‘popular’ APM tahun ini?

Sufi menjawab, bahawa tidak ada apa yang perlu dirisaukan sebab kemenangan untuk sesebuah pertandingan bersandarkan pada rezeki.

"Saya tak rasa bimbang bila peminat nak undi untuk kategori popular APM. Ia tak menjejas sebab ini bukan tentang kesilapan sebagai contoh membunuh orang ke. Ini adalah perselisihan faham antara saya dan ibu seperti perselisihan faham keluarga lain.

“Cuma bezanya konflik saya tersebar sebab mungkin saya 'public figure'. Yang ramai harapkan seorang selebriti tidak ada masalah, tapi masalah keluarga sentiasa ada," terang Sufi dengan tenang dan realistik.

Meskipun tidak menjejas kerjayanya sebagai artis, beliau akui emosinya terjejas juga sebagai manusia biasa.


Sufi berasa sedih dan marah dengan komen-komen netizens yang tidak tahu cerita sebenar atau menuduh bukan-bukan mengenai konflik itu.

Beliau menyatakan demikian kepada BERITAMediacorp mengharapkan pengertian:

“Saya memang kecewa dan risau lagi bila saya dikhabarkan ibu saya diugut. Saya tak nak apa-apa berlaku pada dia. Ramai yang nampak, ramai yang jadi saksi, saya tidak bercakap buruk tentang ibu saya. Saya faham perasaan seorang ibu, ibu memang sayang pada anak dia. Perkara ini sangat biasa untuk seseorang ibu atau sesiapa.”

Untuk kesemua pencalonan APM beliau tahun ini, Sufi menyerahkannya kepada rezeki sahaja meskipun akur ia bakal memberikan persaingan sengit juga untuk tahun 2017.


KALAU SUFI TIDAK MENANG?

Sufi menyatakan, sekiranya beliau tidak menang untuk kategori popular APM 2017 sekalipun, beliau tidak akan merasa hampa atau kecewa.

'Itu adalah rezeki masing-masing.Rezeki itu di tangan Tuhan.Saya buat terbaik' katanya .

Beliau turut berkongsi akan muncul dengan single terbarunya ciptaan penyanyi Haqiem Rusli yang akan diedarkan bermula 14 Oktober nanti.

Selain menyanyi, Sufi turut terlibat berlakon untuk sebuah drama berepisod terbitan TV Suria.

Untuk mengetahui prestasi Sufi Rashid jangan lupa mengikuti APM 2017, yang turut mengetengahkan Ayda Jebat, Aisyah Aziz, Isyana Sarasvati, Virgoun, Gloria Jessica, Aiman Tino, Hael Husaini dan ramai lagi. 

- BERITAMediacorp/FH/ur

Komen Anda?

Top