Images
  • sufi rashid
    Sufi Rashid. (Gambar: Sufi Rashid/ Facebook)

Sufi enggan ulas pertikaian dengan ibunya, minta warga siber "doa yang baik-baik"

SINGAPURA: Yang jelas, penyanyi Singapura yang turut terkenal di Malaysia, Sufi Rashid, ada "masalah keluarga" dengan ibunya, Irma Suriana Mahamud. Sufi mengakui demikian sebagai menjawab soalan BERITAMediacorp.

Malah nada Sufi kelihatan membela ibunya, menerusi jawapan beliau kepada pertanyaan-pertanyaan BERITAMediacorp.

"Saya cuma boleh bersabar dan walau teruk atau sukar macam mana keadaan itu, saya tetap sayangkan ibu saya dan insha Allah tak akan luahkan apa-apa yang boleh membuatkan ibu saya lebih marah," menurut Sufi dalam jawapan bertulis kepada pihak kami.

Semalam (9 Jul), media Malaysia melaporkan tentang perbuatan Cik Irma yang meluahkan kekecewaannya terhadap Sufi menerusi beberapa catatan di akaun Facebooknya, dengan menggelar penyanyi itu sebagai 'Malin Kundang'.

Di tengah-tengah pertikaian yang melimpah ke ruang terbuka itu, selaku anak, Sufi Rashid jelas memilih untuk tidak membalas kata-kata keras itu atau mengulas lanjut mengenai pertikaian tersebut.

Sufi memberitahu BERITAMediacorp, bahawa beliau enggan berkongsi tentang apa sebenarnya pertikaian tersebut kerana ia "terlalu peribadi".

"Apa yang boleh saya katakan, ia adalah masalah keluarga dan saya tidak akan berkongsi perkara itu dengan umum kerana ia terlalu peribadi," kata Sufi sambil meminta para peminat supaya "doa yang baik-baik".

SUFI: "TIDAK ADA EMAK YANG TAK SAYANG ANAK"

Setelah catatan-catatan Cik Irma dilaporkan media, warga siber mula melemparkan kritikan-kritikan terhadap perbuatannya, yang mendedahkan masalah keluarga di media sosial.

Sebagai respons beliau terhadap reaksi sedemikian, Sufi merayu warga siber supaya jangan membuat sebarang spekulasi dan membiarkan beliau dan ibunya meleraikan sendiri kekusutan yang melanda mereka.

"Saya benar-benar menghargai keprihatinan anda semua. (Namun) saya berharap agar warga siber tidak akan marah ibu saya lagi malah beliau memerlukan doa yang baik baik dari anda semua," Sufi memberitahu BERITAMediacorp.

"Saya sebagai anak akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah keluarga saya dengan baik. Tidak ada emak yang tak sayang anak dan tidak ada anak yang tak sayang mak. Biasalah, manusia lemah. Bila emosi kadang-kadang kita terluahkan kata-kata yang kita sendiri tak maksudkan. Saya harap semua masih sokong saya seperti biasa dan doakan yang terbaik untuk saya," ujar Sufi lagi kepada pihak kami.

BERITAMediacorp sudahpun cuba menghubungi Cik Irma Suriana menerusi akaun Facebooknya demi mendapatkan perspektif dan penjelasan beliau tentang perkara ini. Pihak kami akan menerbitkan jawapan Cik Irma sekiranya beliau memberikan jawapan beliau.

BAKAL KELUARKAN LAGU BARU

Dalam pada itu, Sufi turut memberitahu BERITAMediacorp lagu beliau, Aku Sanggup, yang sedang 'hits' sekarang dimasukkan ke dalam pusingan 'showcase' Muzik Muzik. Ini bermakna lagu itu berpotensi untuk dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu yang ke-32.

Sufi turut mendedahkan bahawa beliau akan tampil dengan lagu baru sekitar bulan Ogos atau September tahun ini.

Apabila ditanya judulnya, Sufi berseloroh "rahsia!".     

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top