Images
  • sharnaaz ahmad
    Pelakon Sharnaaz Ahmad. (Gambar: Sharnaaz Ahmad/ Instagram)

Sharnaaz Ahmad didenda Mahkamah Majistret kerana tumbuk pekerja kelab golf

KUALA LUMPUR: Pelakon filem 'Juvana' Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad atau lebih dikenali sebagai Sharnaaz Ahmad, didenda RM1,200 (S$390) oleh Mahkamah Majistret hari ini (25 Sep) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan cara menumbuk seorang pekerja kelab golf warga Bangladesh.

Majistret Mahyudin Mohmad Som turut memerintahkan pelakon berusia 32 tahun itu menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Sharnaaz Ahmad yang juga popular menerusi drama bersiri 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta' dan ‘Suamiku Encik Sotong’ membayar denda itu. Pelakon itu kelihatan bersahaja sepanjang prosiding kes itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap Gous Ali di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di Taman Tun Dr Ismail, Brickfields, pada 5.30 petang, 22 Julai 2017 mengikut Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 (S$640) atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran.

Peguam Zulkifli Awang yang mewakili pelakon itu pula memohon hukuman ringan dan dikecualikan daripada penjara kerana ini adalah kesalahan pertama anak guamnya dan dia juga sudah insaf dengan perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

"Insiden yang berlaku adalah disebabkan salah faham dan anak guam saya juga telah memohon maaf kepada pengadu, juga tiada kecederaan serius dialami mangsa," kata Encik Zulkifli.

- BERNAMA/IM/im

Komen Anda?

Top