Images
  • shaheizy sam
    Shaheizy Sam bersama isterinya Syatilla Melvin. (Gambar: Instagram/ Shaheizy Sam Samad)

Shaheizy Sam bina rumah baru sambut anak sulung

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Shaheizy Sam, 34 tahun, membina rumah baru bagi menyambut kelahiran anak sulungnya, yang dijangka pada pertengahan bulan depan.

Katanya rumah yang dibina bersebelahan kediaman ibunya, pelakon Khaty Fauziah itu sebenarnya sudah lama dirancang, namun baru kini ia dapat direalisasikan.

"Sam sangat teruja untuk menimang cahaya mata sehingga membina rumah untuknya. Tambahan pula, sambutan Hari Raya kali ini lebih meriah dengan kehadiran orang baru dalam keluarga.

"Sam sendiri tidak menyangka mendapat zuriat. Maklum saja, sebagai anak bongsu, Sam sentiasa berasakan diri ini sebagai adik. Jadi, dalam kepala masih terfikir diri Sam masih kecil, sedangkan kini sudah pun beristeri dan bakal menjadi bapa," kata beliau kepada Berita Harian Online Malaysia (BHM).

Ditanya BHM mengenai nilai kediaman baru berkenaan, bintang Polis Evo yang turut dicalonkan pada Anugerah Bintang Popular BHM ke-30 itu enggan mendedahkannya.

Sementara itu, Sam berkata, beliau tidak pernah menghalang isterinya, Syatilla Melvin, 26 tahun, daripada terus bergiat aktif dalam lakonan selepas bergelar ibu nanti.

Sam yang juga pernah memenangi Bintang Paling Popular BHM sebanyak tiga kali, berkata beliau lebih selesa menyerahkan perkara itu kepada Syatilla untuk memutuskannya.

Pada masa sama, katanya, beliau tidak gusar andai isterinya memutuskan untuk berhenti berlakon kerana wanita terbabit turut mempunyai perniagaan fesyennya sendiri.

"Sam tidak mengongkong Tilla (Syatilla) dalam hal ini. Kalau beliau hendak aktif berlakon balik, tidak mengapa, kerana ada masanya memang kita akan rindu untuk beraksi di depan kamera selepas lama tidak berbuat demikian," jelas beliau kepada BHM. 

- Agensi berita/ru

Komen Anda?

Top
>