Images
  • sezairi1
    Sezairi melancarkan single "70's" baru-baru ni. (Gambar fail: TODAY)

Sezairi ubah haluan dengan single ‘70’s’, kongsi pengaruh isteri terhadap video muzik

SINGAPURA: Pemenang Singapore Idol 3, Sezairi Sezali sudah berubah haluan. Yang pasti, haluan yang dimaksudkan bukanlah sesuatu yang negatif, bahkan ia lebih menonjolkan identitinya sebagai seorang pemuzik yang terus mencari pembaharuan!

Dengan single baru ala-ala berentak disko tahun 70-an yang baru-baru ini dilancarkan di Hard Rock Cafe, ia tentunya suatu perbezaan ketara berbanding EP beliau tahun lalu, “Fire To The Floor”.

Malah, menurut Sezairi, lagu “70’s” itu turut menggambarkan arah muziknya buat masa ini.

“Ia menggambarkan saya, yang masih cuba mendapatkan aliran muzik ‘mainstream’,” dedahnya, sambil berkata para peminat yang menggemari muzik lamanya akan tetap dapat menikmati muziknya kini.

Ini meskipun muzik barunya ini jauh berbeza daripada lagu-lagunya yang lebih bersifat akustik dahulu.

Bagaimanapun, beliau tetap bertegas lagunya itu bukan sekadar berkonsepkan 70-an sahaja.

Sebaliknya ia lebih merangkumi segala yang digemarinya mengenai tahun 1970-an. “Semua perkara yang saya minat datang dari tahun 70-an,” dedahnya. “Muziknya, waktu muda Michael Jackson, trilogi asal Star Wars, Dr Who…”

Malah, perkara-perkara sebegini jugalah yang turut disisipkan ke dalam lagu berkenaan, tetapi yang penting, ia adalah sebuah lagu tentang bersuka ria.”

SEZAIRI DAN KUCING KARTUN

Video muzik itu malah meniupkan semangat ceria ke dalam lagu tersebut, dengan memaparkan orang ramai yang menari – yang kemudian bertukar menjadi kucing-kucing kartun yang berjoget.

Ketika ditanya mengenai kucing-kucing itu, Sezairi berkongsi: “Saya tidak sukakan kucing dahulu, tetapi isteri saya menggemari kucing dan saya harus menyesuaikan diri dengan keadaan itu, dan kini, saya juga sayang kucing,” katanya, yang juga membela enam ekor kucing.

Bahkan, seni bagi hiasan kulit singlenya juga memaparkan dirinya sebagai seekor kucing kartun, iaitu hampir serupa dengan seni kulit bagi EP beliau, berjudul Sezairi, dan single “Fire To The Floor”.


“Saya kini banyak menambah segala yang berkaitan dengan kucing dalam apa yang saya lakukan, dan ini hanya sebagai sebahagian daripadanya sahaja. Itulah sebabnya mengapa orang ramai dalam video muzik itu kemudian berkepala kucing kartun,” katanya.

“Sama juga sebagaimana Batman menghadapi ketakutannya terhadap kelawar. Saya bukanlah seperti ‘Catman’, tetapi saya benar-benar suka kucing.”

LEBIH BANYAK BELAJAR MENGENAI ISTERI SELEPAS BERKAHWIN

Mencintai kucing juga bukan hanya satu-satunya perkara yang beliau pelajari sepanjang hubungan dengan isterinya, di mana mereka sudahpun menyulamkan cinta sejak lapan tahun lalu dan berumahtangga sejak sekitar satu tahun setengah lalu.

“Saya rasa saya lebih banyak mempelajari tentangnya selepas kami berkahwin,” katanya, yang juga pelantun lagu Jangan Coba Berlari dan Selamat Pagi.

“Sesudah anda berkahwin, anda bersama orang itu sepanjang masa dan anda mula mempunyai bahasa komunikasi tertentu antara satu sama lain. Apabila beberapa perkara berlaku, setiap individu akan memberikan reaksi berbeza, oleh itu saya harus memahami bagaimana beliau bertindak terhadap perkara itu.

“Ia adalah proses yang perlahan dan anda harus menangani situasi itu bersama-sama dan mencari jalan untuk menghuraikannya.”

Adakah dengan pelancaran “70’s” juga bermakna sebuah album baru bakal diterbitkan tidak lama lagi?

“Bergantung kepada keadaan,” katanya ringkas, sambil menarik perhatian bahawa beliau mempunyai beberapa projek yang sudahpun diatur sehingga hujung tahun.

“Tetapi saya selalu menghasilkan muzik, jadi kita nantikan sahaja apa yang mungkin muncul di hari muka.” 

- TODAY/IM/im

Komen Anda?

Top