Images
  • nick mikhail
    Petikan skrin video Nick Mikhail yang didakwa Seniman sebagai mencalarkan kredibiliti Zed Zaidi.

Seniman buat aduan polis terhadap Nick Mikhail

HULU KLANG: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) membuat aduan polis terhadap pelakon Singapura Nick Mikhail selepas beliau didakwa mengugut dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap presiden Seniman Zed Zaidi.

Menurut laporan mStar Online, Nick mengeluarkan ugutan dan kata-kata kesat melalui video yang dimuat naik melalui Facebook Live kelmarin (1 Ogos).

Aduan itu dibuat Pengerusi Biro Perpaduan dan Antarabangsa Seniman Subash Sundaramoorthy, 36 tahun, di Balai Polis Taman Melawati hari ini.

Encik Subash berkata Seniman terpanggil untuk membuat aduan itu selepas berpendapat tindakan Nick melampau dan mencalarkan kewibawaan Zed Zaidi.

"Ini kali ketiga individu berkenaan mengugut dan mengeluarkan kata-kata kesat, fitnah terhadap Seniman dan presiden, jadi atas sebab itu kita rasakan perlu membuat aduan polis kerana sebelum ini kami senyap sahaja.

"Kata-katanya iaitu 'kalau lu langgar sama Aliff Aziz lu langgar sama gua. Sekarang wa cabar sama lu, lu pancung, lu datang kita tunggu sama lu' adalah satu ugutan melampau.

"Kita rasa bertanggungjawab untuk mempertahankan Seniman dan presiden dari terus diperkotak-katikkan oleh individu yang tiada kaitan dengan persatuan.

"Zed sendiri tidak tahu kami akan buat laporan polis dan hanya memberitahunya pagi ini," katanya ketika ditemui mStar Online.

Dalam pada itu, Encik Subash berkata, beliau berharap tindakan daripada pihak Polis, Jabatan Imigresen dan agensi berkaitan dapat mengambil tindakan terhadap Nick berhubung insiden itu.

"Jika kita biarkan ia akan berulang dan kita harap agensi kerajaan berkaitan akan menyiasat dan mengambil tindakan sebelum sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya.

ISU ALIFF AZIZ CETUS PERTIKAIAN TENTANG PERMIT KERJA

Sementara itu, Pengerusi Biro Penguatkuasaan Pelesenan dan Tata Tertib Seniman, Mohd Aszerul Nizam Abdullah atau Beego pihak Seniman bersuara kerana isu melibatkan Aliff mendapat perhatian meluas dan ramai mula bertanya tentang permit bekerja penyanyi itu di negara ini.

Kata Beego, sebagai pihak bertanggungjawab mereka perlu menjawab semua persoalan ditimbulkan dan tindakan presiden bukannya bersifat peribadi sebaliknya atas kepentingan industri.

"Berdiri sebagai presiden tidak keterlaluan apabila Zed mengeluarkan kenyataan mengenai Aliff namun persepsi orang luar menjadikan ia negatif.

"Isu Aliff 'panas' dan menjadi perbualan netizen sehingga ada pihak mempertikaikan permit kerjanya di negara ini.

"Di sini Seniman akan memainkan peranan dan sekiranya dakwaan itu benar tindakan diplomatik boleh digunakan untuk selesaikan masalah dan bukannya seperti didakwa.

"Bagaimanapun Aliff adalah ahli Bersekutu Seniman dan ada menghantar permohonan pekerja filem asing ke Finas untuk diproses di Jabatan Imigresen namun tidak tahu sama ada ia diluluskan atau pun tidak," katanya kepada mStar Online. 

- Agensi berita/RU/ru

Komen Anda?

Top