Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Selepas Khai Bahar & Wany Hasrita, kini 'penyanyi Smule' Cikgu Meera pula disunting syarikat rakaman

Kita semua sudah menyaksikan bagaimana, menerusi Smule, penyanyi dengan suara emas seperti Khai Bahar dan Wany Hasrita berjaya dicungkil sebagai penyanyi.

Anggaran Waktu Membaca:
Selepas Khai Bahar & Wany Hasrita, kini 'penyanyi Smule' Cikgu Meera pula disunting syarikat rakaman

Cikgu Meera. (Gambar: Instagram/Cikgu Meera)

Diterbitkan : 18 Oct 2017 10:09PM Dikemas Kini : 18 Oct 2017 10:47PM

KUALA LUMPUR: Kita semua sudah menyaksikan bagaimana, menerusi Smule, penyanyi dengan suara emas seperti Khai Bahar dan Wany Hasrita berjaya dicungkil sebagai penyanyi.

Kini seorang lagi bakat baru yang muncul menerusi Smule, berjaya disunting menerusi aplikasi muzik karaoke itu.

Cikgu Meera atau nama sebenarnya Nur Ameera Nabila Azmi, 24 tahun, yang merupakan seorang guru muzik di sebuah sekolah di Shah Alam, Selangor tidak menyangka video nyanyiannya di Smule menjadi tular dan mendapat  perhatian ramai.

Hasilnya syarikat rakaman Jayy Production turut jatuh hati untuk menyunting ‘Cikgu Viral’ ini sebagai artis mereka dan memberi peluang kepadanya untuk merakam single berjudul ‘Oh Sayangku’ karya komposer Eddie Hamid manakala liriknya ditulis oleh Nur Hakim.

"Saya sangat bertuah dapat menyanyikan lagu Oh Sayangku ciptaan Eddie Hamid yang mula dilancarkan pada 6 Oktober lalu, kerana bukan sahaja komposisi melodinya indah, malah liriknya juga sangat mendalam.

"Lagu ini mengisahkan seorang wanita yang meninggalkan teman lelakinya untuk menjalinkan hubungan  bersama lelaki lain, namun lama kelamaan beliau menyesal atas perbuatannya dan mahu kembali bersama bekas teman lelakinya tetapi segalanya sudah terlambat," kata penyanyi tersebut kepada Bernama.

Nur Ameera Nabila ditemui selepas menjadi tetamu undangan program 'Nine11' terbitan Bernama News Channel (BNC) hari ini (18 Okt).

Beliau yang amat mengagumi penyanyi Datuk Siti Nurhaliza bersyukur single pertamanya itu mendapat respons positif daripada para peminat selain video lirik lagu itu mencapai tontonan kira-kira 47,000 di YouTube.

Cikgu Meera turut berkata beliau dan Jayy Production sedang merancang untuk menghasilkan video rasmi Oh Sayangku.

Ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara waktu mengajar di sekolah dan nyanyiannya, anak jati Kodiang, Kedah ini menegaskan beliau hanya bernyanyi  pada waktu cuti mingguan dan tetap meletakkan kerjaya sebagai seorang guru sebagai keutamaannya.

"Saya tidak akan mengabaikan kerjaya di sekolah kerana itu merupakan cita-cita saya sejak dahulu lagi, manakala nyanyian hanyalah kareer separuh masa saya untuk mengisi waktu terluang," katanya yang bernyanyi sejak usia remaja lagi.

Beliau juga terharu dengan sokongan padu yang  diberikan rakan-rakan guru termasuk guru besar serta anak-anak muridnya untuk memperkembangkan lagi bakatnya sebagai penyanyi.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan