Images
  • rahimah rahim2

Selepas 40 tahun Rahimah Rahim beranikan diri adakan konsert solo pertama… dan yang “terakhir”

BERITAMediacorp: Tidak ramai penyanyi Melayu tempatan, boleh mendabik dada dan mengaku sudah membuat konsert solo di pentas gah Dewan Konsert Esplanade – suatu petanda bahawa penyanyi berkenaan sudah ada ‘martabat’.

Tapi pada Sabtu ini (11 Nov) Rahimah Rahim boleh mengaku demikian – pada usia matang 62 tahun! Beliau akan ‘memiliki’ pentas Dewan Konsert Esplanade menerusi konsert solonya yang diberi tajuk ‘Rahimah Rahim: Hidupku, Seniku… perjalanan hidupku dalam muzik’.

Semasa ditanya mengenai kemunculannya di Esplanade Sabtu ini, penyanyi kelahiran Singapura itu dengan rendah diri memberitahu BERITAMediacorp: "Inilah konsert solo saya yang pertama selepas empat dekad. Dan ini jugalah yang terakhir."

Pada usianya sebegini, Rahimah sejujurnya mengatakan bahawa beliau tidak menjangkakan tawaran sebesar ini, mentelah lagi di Dewan Konsert Esplanade, bukan pentas biasa-biasa.

Bagaimanapun, beliau memberanikan diri untuk menyahut cabaran itu, sekaligus menandakan satu lagi tanda aras dikecapinya selaku penyanyi, selepas diberi penghargaan berprestij, Anugerah Perdana Emas, di Pesta Perdana Suria pada Mac tahun ini (2017).


(Gambar: Rahimah Rahim/ Facebook)

GADIS BUNGA ‘MEKAR’ KEMBALI

Nama Rahimah Rahim, memang sudah cukup dikenali ramai penggemar muzik tempatan dan di Malaysia. Beliau mula menjadi ‘artis’ pada usia enam tahun selaku pelakon kanak-kanak dan mula menyanyi pada usia 10 tahun. Pada usia 16 tahun beliau mula bergelar artis rakaman.

Dengan lagu-lagu seperti Gadis dan Bunga, Hati Yang Rapuh, Bebas, Masihkah Ada Cinta dan Selamat Berhari Raya, karya Rahimah masih melekat di minda orang ramai. Lagu-lagunya juga masih kerap diputarkan di radio.

Selepas 40 tahun, penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan 'Kak Gerl' ini tentunya sudah banyak mengharungi onak duri bidang seni selain banyak menguasai pentas di sekitar Asia sejak tahun 1980-an.

Jadi, apakah pengertian konsert ini secara peribadi kepada beliau? Apakah ini sekadar peluang ‘meminjam’ pentas, atau lebih daripada itu?

"Konsert ini bermakna bagi saya - inilah saya, inilah kehidupan saya. Ini sebagai satu kenangan bagi mereka yang sebaya dengan saya dan sumber inspirasi bagaimana membangunkan minat dan agar tidak berputus harapan bagi anak-anak muda," kongsinya.


(Gambar: Ihsan Offshore Production)

BERDEBAR-DEBAR SEPERTI DUDUKI PEPERIKSAAN!

Meskipun sudahpun menghiburkan ribuan peminat di dalam dan di luar negara, Rahimah mengakui beliau tidak berani untuk mengadakan konsert solo sebelum ini.

"Ditawarkan membuat konsert pada usia begini, berdebar-debar! Tak sangka. Macam nak ambil peperiksaan sebab kena hafal sehingga 20 lagu!

"Tak berani sebab ramai penyanyi muda bagus yang semakin meningkat naik nama mereka. Lagipun, saya sekadar seorang penyanyi, bab promosi saya tak pandai. Tetapi inilah dinamakan penuaan aktif. Dapat juga bersenam dan jalani gaya hidup sihat di atas pentas!" selorohnya, yang menjalani latihan vokal dengan Ann Hussein bagi konsert ini.


(Gambar: Rahimah Rahim/ Facebook)

Walaupun konsert pada Sabtu ini bakal menjadi konsert solo yang julung-julung kali diadakan baginya, beliau sudahpun memutuskan bahawa beliau mungkin tidak akan mengadakan acara sebesar ini lagi.

"Pada usia saya begini, penat, saya tak larat. Cuma saya minta pada Allah supaya beri sedikit tenaga - ia semua bergantung pada tenaga," katanya kepada BERITAMediacorp.

HIDUPKU, SENIKU SEMPENA PELANCARAN SINGLE

Dengan konsert yang bertemakan Hidupku Seniku, Rahimah bakal berkongsi perjalanan hidup dan seninya menerusi lagu-lagu dan mengenali dirinya dengan lebih dekat.

"Konsert ini tentang perjalanan hidup saya dan bagaimana saya naik turun tangga dalam bidang seni.

"Jika budak-budak sekarang naik turun tangga bergerak, tidak bagi saya. Semuanya harus dilakukan from scratch," jelasnya, yang juga pernah menyanyi bagi pertunjukan "supper club" di hotel-hotel pada tahun 1980-an.


(Gambar: Rahimah Rahim/ Facebook)

Malah, beliau turut mengambil peluang ini untuk melancarkan sekali single barunya berjudul Gelas Gelas Cinta, yang mempunyai rentak ala lagu popular Despacito!

Rahimah berkongsi dengan BERITAMediacorp: "Sebenarnya saya mahu melancarkan single saya saja, tetapi akhirnya ditawarkan untuk membuat konsert sekali!

"Gelas Gelas Cinta lebih kepada muzik zaman ini. Ia diterbitkan oleh syarikat baru saya Gerl Rahim Productions (Malaysia), digubah oleh Fauzi Marzuki dan liriknya ditulis oleh Siso dari Kopratasa."

KONGSI PENTAS DENGAN KELUARGA: MEREKA TAHU DIRI SAYA SEBENAR

BERITAMediacorp bertanya kepada Kak Gerl, apakah yang akan beliau bariskan dalam konsert itu nanti? Apa lagi yang boleh peminat jangkakan?

Menurut Rahimah, konsert yang bermula pada 8.30 malam itu akan diserikan dengan beberapa wajah yang cukup dikenali termasuk adik bongsunya Rozie Rahim serta sepupu-sepupunya Mahani Mohd dan Fauziah Ahmad Daud.


(Gambar: Rahimah Rahim/ Facebook)

"Jika konsert ini adalah suatu yang menceritakan tentang saya, keluarga saya jugalah yang tahu tentang diri saya yang sebenar. Mereka yang tahu bagaimana sikap saya, perjalanan hidup dan juga perjalanan saya dalam bidang muzik," jelas anak sulung kepada penyanyi Rahim Hamid yang terkenal sebagai ‘Nat King Cole Singapura’, dan pelakon Mariam Baharom.

Bahkan ini termasuk pengalaman pahit manis yang dilaluinya sepanjang kerjayanya selama 40 tahun.

"Kenangan paling manis adalah apabila kerja kita dihargai. Tetapi sebagai artis, akan ada gosip dan kritikan.

"Saya terima kritikan yang membina tetapi jika ada gosip, saya tidak boleh halang anda. Biarkan saja mereka bercakap, kita tak boleh tutup mulut orang," dedah ibu dua orang anak perempuan berusia 39 dan 22 tahun, serta nenek kepada tiga orang cucu berusia sembilan hingga 12 tahun.

RAHIMAH RAHIM: “SAYA SEPERTI MAKCIK-MAKCIK BIASA”

Sambil melahirkan harapan agar penonton menikmati persembahannya hujung minggu ini, secara tidak langsung Rahimah juga ingin menyampaikan mesej supaya sentiasa berpijak di bumi yang nyata.

"Seni saya ini satu anugerah, Allah pinjamkan. Di pentas, saya melakukan kerja saya. Tapi sebaik saja saya turun pentas, saya hidup dalam realiti. Saya seperti makcik-makcik biasa saja," selorohnya lagi.

Malah, penyanyi penuh berpengalaman ini turut mempunyai sepatah dua kata nasihat bagi golongan muda yang baru bertapak dalam dunia seni.

"Bagi anak muda yang minat dalam dunia hiburan, usah mudah berputus asa. Jangan berasa negatif tentang dunia hiburan di Singapura. Lakukan dan serlahkan saja bakat anda. Anda tidak akan tahu tuah anda di mana.

"Bina kerjaya di Singapura dahulu, baru ke luar negara. Memanglah orang kata, hujan emas di negeri orang tetapi saya sendiri bina nama di sini dahulu. Kerana akhirnya, kita akan balik ke negeri sendiri juga," nasihat beliau, yang menyimpan hasrat mengajar seni vokal kepada bakat-bakat muda pada masa akan datang.

Yang pasti, konsertnya pada Sabtu ini bakal disulami dengan kenangan dan inspirasi bagi pelbagai golongan usia agar karyanya diingati. Atau dalam kata Rahimah Rahim sendiri: "Supaya orang ramai ingat saya." 

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top