Images
  • zizan razak
    Pelakon dan pelawak popular Malaysia Zizan Razak. (Gambar: Instagram/ Zizan Razak)

Sekali lagi Zizan Razak akan sambut Hari Raya di Makkah

KUALA LUMPUR: Keseronokan beraya di Tanah Suci Makkah pada tahun lalu membuka hati pelakon dan pelawak popular Zizan Razak untuk merasai pengalaman serupa pada tahun ini terutamanya 10 malam terakhir Ramadan.

Zizan akan berangkat ke sana pada 14 Jun ini sehingga 2 Syawal (26 Jun) selain menganggap ia tempat yang baik dan sempurna untuk bercuti.

"Sejak pertama kali ke Makkah saya sudah tiada perasaan untuk ke tempat lain kerana di sanalah tempat paling baik untuk bercuti.

"Selain meningkatkan ketakwaan dan keimanan dalam setiap ibadat dilakukan saya juga sentiasa berasa amat tenang apabila berada di Mekah dan akan gunakan setiap peluang beribadah dengan sebaik-baiknya," kata Zizan kepada mStar Online.

Zizan ditemui di majlis berbuka puasa dan sidang media program Syawal TV3 dan TV9 yang diadakan pada Rabu.

Dalam pada itu, laporan mStar Online menukil Zizan sebagai berkata, beliau lebih bersedia mengerjakan umrah kali ini termasuklah untuk mengenali diri sendiri sekali gus memperbaiki kelemahan yang ada.

"Selain sentiasa berasa tenang di Makkah, semua jemaah adalah setaraf sehingga kita tak kenal siapa kaya atau miskin.

"Ia tempat yang baik untuk bercuti dan sekiranya mampu… pergilah! Ia banyak mengajar kita mengenal diri sendiri, tak fikir benda lain selain amalan dan bagaimana hendak lalui padang Mahsyar (apabila meninggal dunia) nanti," katanya kepada mStar Online.  

- Agensi berita/ru

Komen Anda?

Top