Images
  • Search
    Kumpulan Search. (Gambar: DuBook Press/Facebook)

Search kongsi suka duka perjalanan seni dalam 'Search: Phenomena of Rock n Roll'

KUALA LUMPUR: Lebih tiga dekad bergelumang dalam dunia muzik tanah air, kumpulan rock lagenda tanah air, Search, berkongsi cerita suka duka perjalanan seni mereka dalam buku biografi bergambar 'Search: Phenomena of Rock n Roll'.

Vokalisnya, Suhaimi Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Amy Search berkata buku 152 halaman itu bukan sahaja menceritakan pahit manis perjalanan kumpulan tersebut sepanjang 36 tahun malah turut memaparkan gambar-gambar awal pembabitan mereka sebagai anak seni.

"Gambar yang belum pernah diterbitkan di mana-mana pun ada, gambar waktu kami mula-mula sampai KL (Kuala Lumpur) dulu, zaman belum ada duit, belum popular lagi.

Memang tersentuh bila tengok balik, (gambar) macam tak kenal diri sendiri, macam gelandangan pun ada," katanya sambil disambut hilai ketawa wartawan selepas Sesi 'Meet and Greet' Bersama Search hari ini (6 Mei).

Turut hadir dalam acara tersebut adalah tiga lagi anggotanya iaitu Hamzah Taib atau Kid (gitar utama), Din atau Noordin Taib (gitar) dan Nasir Daud (bass).

Amy turut menyifatkan buku yang mengambil masa kira-kira lima bulan untuk diterbitkan itu sebagai ''hadiah'' kepada peminat setia kumpulan itu dan diharapkan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda yang berhasrat menjadikan muzik sebagai kerjaya.

"Kita bermula dengan ''kosong'' dan Alhamdulillah mampu bertahan selama 36 tahun dalam industri, kita mahu bila baca buku ini mereka rasa yang mereka pun boleh buat perkara sama dan ia tidak mustahil," katanya.

Menganggap ''Search: Phenomena of Rock n Roll'' sebagai naskhah pengenalan jurnal perjalanan Search, Amy berkata mereka turut merancang menerbitkan buku biografi yang lebih lengkap dan mendalam pada masa akan datang.

"Seratus lima puluh dua muka surat mungkin tak cukup nak ceritakan perjalanan kami yang dah lebih tiga dekad, kita akan usahakan buat biografi yang lebih tebal, mungkin 500 muka surat supaya lebih terperinci," katanya.

Search ditubuhkan pada 1981 dan dikenali sebagai salah sebuah pelopor muzik rock dalam bidang muzik arus perdana negara pada era 1980-an dan 1990-an.

Antara lagu popularnya adalah Rozana, Pelesit Kota, Kejora dan Isabella. 

- Bernama/nk

Komen Anda?

Top