Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

“Saya bukan pelawak” kata Khairudin Samsudin, “hanya pelakon komedi”

Bayangkan. Beliau sudah sekitar 40 tahun dalam dunia seni. Selama 32 tahun beliau menjadi bakat cilik dari Mat Yoyo dan kemudian berlakon, mengacara serta juga mengarah rancangan televisyen. Tiba-tiba selepas 32 tahun, beliau jadi orang yang kelakar pula; jadi pelawak!

Anggaran Waktu Membaca:
“Saya bukan pelawak” kata Khairudin Samsudin, “hanya pelakon komedi”

Personaliti tempatan Khairudin Samsudin. (Gambar: Khairudin Samsudin/ Facebook)

BERITAMediacorp: Bayangkan. Beliau sudah sekitar 40 tahun dalam dunia seni. Selama 32 tahun beliau menjadi bakat cilik dari Mat Yoyo dan kemudian berlakon, mengacara serta juga mengarah rancangan televisyen. Tiba-tiba selepas 32 tahun, beliau jadi orang yang kelakar pula; jadi pelawak!

Itulah perjalanan bakat seni bernama Khairudin Samsudin. Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Khairudin banyak mengisi ruang-ruang lawak di Singapura seperti sketsa-skesta komedi secara langsung di hadapan penonton seperti Sinar Lebaran. Beliau memang kelakar. Tidak takut untuk menghentam dirinya sebagai ‘Bangkai’ (Abang Khai).

Segala-galanya bermula tujuh tahun lalu, apabila beliau berjaya menghidupkan watak komedi bagi rancangan Sinar Lebaran bersama pelawak Zizan. Watak komedi itu kemudian melarat hinggalah ke tahun ini.

Apakah Khairudin yang kini semakin dan terus berjaya menggeletek hati penonton, benar-benar serius mahu jadi seorang pelawak? Jadi ‘stand-up comedian’ atau pelawak spontan mungkin? Jawapan yang beliau berikan mungkin membuatkan sebilangan orang menggaru kepala.

“Saya bukan pelawak. Saya masih seorang pelakon. Pelakon komedi, mungkin,” kata Khairudin kepada BERITAMediacorp. Jadi, kenapa beliau bukan seorang pelawak, sedangkan beliau memang ada bakat tersebut dan sudahpun banyak membuatkan penonton tersenyum kambing dengan lawaknya?

“Pelawak ialah seperti Abang Alias Kadir. Abang Alias, di luar pentas atau di TV sekali pun, dia tetap kelakar. Malah, saya tidak pernah terfikir yang saya boleh membuat penonton ketawa. Cuma saya suka pada cabaran sekiranya diberi peluang, dan saya akan cuba yang semampu saya.” Demikian jawapan yang boleh dianggap menarik dari Khairudin.

Khairudin menambah bahawa bakat komedi itu sebenarnya terlahir “secara tidak sengaja”. Semua ini hasil peluang yang diberikan kepadanya dan beliau manfaatkannya sepenuhnya.

KHAIRUDIN: CABARAN TERBARU… AGAR ORANG TIDAK MELUPAKAN SAYA

Menurut Khairudin, menjayakan watak komedi itu juga perlu dipupuk dengan kerja keras dan sokongan rakan-rakan di sekeliling. Cakap mudahnya, apa yang dipaparkan bagi tawaan penonton bukan sekadar ‘adlib' tetapi turut memerlukan kajian.

Yang nyata, setiap bidang yang diceburinya pasti mempunyai pelbagai cabaran yang harus diharungi.

“Untuk menjadi popular dan dilupakan dalam masa yang singkat adalah mudah, tetapi untuk kekal relevan dalam industri bukan satu perkara yang remeh.

“Cabaran yang terbaru sekarang ini adalah untuk meninggalkan kesan agar orang tidak melupakan saya walau satu hari nanti saya tidak aktif lagi dalam dunia seni, memandangkan peluang harus diberikan kepada bakat-bakat lain,” kongsinya, yang turut menjadikan Suhaimi Yusof sebagai sumber inspirasi dalam bidang pengacaraan dan komedi.

“SAYA TAK PERNAH BANDINGKAN DIRI DENGAN RAKAN SEPERJUANGAN LAIN”

Sebelum Mat YoYo, Khairudin sebenarnya juga sudahpun terlibat dalam pelbagai rancangan kanak-kanak dahulu. Bukan sahaja rancangan televisyen Datuk Harimau, Warna Warni dan Lima Sekawan, malah beliau juga beraksi dalam Pak Uteh Bercerita, Masa Bercerita dan Tamanika di radio.

Yang lebih menarik lagi, Khairudin juga seangkatan dengan DJ Warna Suriani Kassim, pengarah Faisal Ishak, Rilla Melati, Djohan Abdul Rahman (Bobo), Gamar Abdul Aziz (mantan wartawan CNA), Farlina (Suria), Zakir Abdul Hamid, Maizurah Hamzah, Norish Karman (sewaktu di teater), Ibrahim Sawifi dan ramai lagi!

“Tidak pernah saya bandingkan dengan rakan-rakan seperjuangan saya. Haluan yang saya pilih atau rakan-rakan lain pilih adalah pilihan tersendiri, rezeki masing-masing. Yang penting, setiap dari apa yang kita pilih akan membuat kita gembira dan suka, dan dapat membiaya ongkos kita seharian.

“Malah, kepelbagaian antara kami membuat persahabatan kami lebih menarik. Kalau terjumpa, dapat juga kami berkongsi pengalaman dan cerita masing-masing,” ujarnya, yang menyertai Bengkel Kanak-Kanak Radio pada usia 7 tahun.

PERNAH TIDAK DIPANGGIL MENGACARA SELAMA 2 TAHUN KERANA GUGUP

Meskipun lebih cenderung dalam bidang lakonan televisyen dan teater, Khairudin sebenarnya mengambil pengkhususan dalam bidang pengarahan dalam tahun ketiga semasa menuntut di Kolej Seni SIA Lasalle. Dari situ jugalah berputiknya minat untuk menjadi seorang pengarah.

Bagaimanapun, pengalaman awal beliau dalam bidang pengacaraan tetap merupakan kenangan yang paling sukar untuk dilupakan.

“Saya pertama kali diberi peluang untuk mengacarakan rancangan Hari Raya ketika itu bersama Suriani Kassim. Selepas itu, saya berpeluang mengacara bagi Bulan Bahasa. Rancangan itu merupakan rancangan siaran langsung dan ketika itu, saya begitu gementar dan gugup sehingga saya ‘jam’ terlupa pantun yang patut saya ungkapkan selama satu minit.

“Jangka satu minit untuk ‘live show’ merupakan mimpi ngeri bagi seorang pengacara. Walaupun dapat mengingat semula pantun itu, itulah kesilapan besar yang pernah saya lakukan. Menyusuli kejadian itu, saya tidak dipanggil selama dua tahun untuk mengacara,” dedahnya kepada BERITAMediacorp.

Bagaimanapun, beliau kemudian dijemput untuk menjayakan rancangan ‘info-ed’ 647, yang membantu menyerlahkan kemahirannya dalam bidang pengacaraan. Dari peluang yang kedua itu jugalah beliau terus bekerja keras dan bertekad untuk tidak mensia-siakan peluang yang diberikan lagi.

Turut bermula sebagai seorang penolong pengarah selepas tamat pengajian, beliau juga menimba pengalaman di beberapa syarikat produksi sebelum akhirnya diberi kepercayaan untuk mengarah drama pertamanya, Anak Metropolitan 2, dua tahun kemudian.

Personaliti tempatan Khairudin Samsudin. (Gambar: Khairudin Samsudin/ Facebook)

(Gambar-gambar: Khairudin Samsudin/ Facebook)

KHAIRUDIN SAMSUDIN MAHU BERHIJRAH KE MALAYSIA PULA?

Selain bakal mengarah rancangan ‘Abang Teksi’ enam episod terbitan Eaglevision, monolog Khairudin yang dipentaskan oleh Teater Ekamatra juga akan dipersembahkan di Malaysia pada bulan depan. Tambahnya, beliau mungkin akan mengacarakan sebuah lagi rancangan baru mengenai anak-anak, yang masih dalam peringkat program rintis.

“Saya menerapkan kecintaan terhadap apa yang dilakukan, fokus, keikhlasan dan menghadapi cabaran dengan tenang, lebih-lebih lagi dengan media sosial yang semakin galak. Terima dan akur bahawa mana yang tidak selesa, jangan dibuat. Mana yang dipertanggungjawabkan pula, lestarikan dengan penuh keupayaan dan kesungguhan,” kongsinya, yang kini lebih selesa mengarah.

Dengan lebih ramai bakat-bakat Singapura yang menebarkan sayap ke Malaysia, adakah Khairudin mempunyai impian yang serupa untuk memperluaskan kerjaya di seberang?

“Bagi saya, apa yang saya raih selama ini sudah mencukupi, Alhamdulilah. Kalau boleh bukan sahaja di Malaysia tapi juga ke merata dunia. Tetapi saya lebih percaya kepada usaha dan kepercayaan diri. Sekiranya usaha kita mantap dan kita percaya pada diri kita, peluang akan muncul bila-bila masa. Biarlah visi dan cita-cita itu sebagai lakaran sahaja. Kita berpijak di bumi yang nyata,” jelasnya kepada BERITAMediacorp.

Malah, Khairudin juga menarik perhatian bahawa bidang seni kini adalah satu kerjaya dan bukan sekadar hobi. Mentelah lagi bagi anak-anak seni Singapura di mana kos kehidupan terus semakin tinggi.

“Sememangnya mereka harus keluar dari Singapura sekiranya mereka betul-betul ingin mencuba nasib menjadi anak seni ataupun mereka harus mempelajari dan menceburi lebih dari satu aspek, dan bukan setakat sebagai pelakon, penyanyi atau pelawak.” Demikian nasihat dari ‘Abang Khai’ dalam persada seni Singapura.

Tahun depan genaplah 40 tahun beliau bergelumang dengan dunia seni. Semestinya, 40 tahun pengalaman cukup untuk memberi lesen kepada Khairudin Samsudin berkongsi sepatah dua nasihat kepada artis lebih muda. Maka ini antara nasihat beliau:

“Kita harus mempersiapkan diri kita… Jadi tidaklah kita jadi pelakon, penyanyi, pelawak yang seringkali 'menyalak ' di laman sosial menyalahkan dan memperlekehkan pihak-pihak tertentu bila tidak diberi peluang.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan