Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Saluran 5 Mediacorp mohon maaf atas segmen menyakiti perasaan dalam OK Chope!

Saluran 5 Mediacorp memohon maaf atas satu segmen komedi yang mengandungi komen-komen tentang Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyakiti perasaan sesetengah penonton.

Anggaran Waktu Membaca:
Saluran 5 Mediacorp mohon maaf atas segmen menyakiti perasaan dalam OK Chope!

(Gambar: Toggle)

Diterbitkan : 05 Apr 2017 09:56AM Dikemas Kini : 06 Apr 2017 06:22PM

SINGAPURA: Saluran 5 Mediacorp memohon maaf atas satu segmen komedi yang mengandungi komen-komen tentang Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyakiti perasaan sesetengah penonton.

Selepas segmen dalam rancangan komedi Ok Chope! itu disiarkan pada 29 Mac, saluran itu menerima maklum balas daripada para penonton bahawa ia menyakiti perasaan, menurutnya dalam satu kenyataan hari ini (5 Apr).

Sebagai respons kepada pertanyaan media, Ketua Pegawai Pelanggan Mediacorp, Debra Soon berkata: "Saluran 5 dan pasukan penerbitan OK Chope! ingin secara ikhlas memohon maaf kepada Perdana Menteri Malaysia Najib Razak atas segmen dalam episod minggu lalu.

"OK Chope!, sebuah rancangan mingguan yang disiarkan secara langsung, memaparkan para pelawak yang memberikan pandangan lucu tentang berita dan ehwal semasa.

"Episod minggu lalu termasuk komen-komen yang merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia Najib Razak yang tidak berhemah dan menyakiti perasaan. Oleh itu kami sudah menariknya daripada siaran ulangan dengan serta merta. Kami dengan ikhlas meminta maaf atas kesilapan ini."

KENYATAAN NAJIP ALI MEMINTA MAAF

Artis Najip Ali, yang tampil dalam rancangan itu, juga tampil mengeluarkan kenyataan meminta maaf hari ini. Berikut ini kenyataan penuh dari Najip Ali:

Melihat kepada reaksi mereka yang tersinggung dengan komen-komen saya dalam rancangan komedi di Saluran 5 baru-baru ini, saya berasa amat kesal tentang bagaimana saya telah mengguris perasaan mereka. 

Walaupun saya telah lama terlibat dalam dunia TV dan hiburan sejak lebih 30 tahun, insiden ini menyedarkan saya bahawa saya haruslah lebih peka tentang kata-kata dan tindak- tanduk saya dan saya tidak seharusnya memperkecilkan kesan sebarang pertunjukan yang dibuat di hadapan ramai penonton, baik di TV atau pun di pentas.

Melihat semula kepada komen-komen dalam rancangan itu, saya faham bagaimana kata-kata saya telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia rasa terguris. Saya dengan rendah dirinya meminta maaf kepada Perdana Menteri yang dihormati Dato' Sri Haji Mohammad Najib, para penonton rancangan tersebut dan rakan-rakan yang saya hampakan. Saya sedar bahawa di masa hadapan saya seharusnya lebih peka tentang bagaimana kata-kata dan tindakan saya boleh menjejas orang lain.

Di sini saya memohon ampun dan maaf. Saya mengharapkan permohonan maaf yang ikhlas ini diterima dengan ketulusan dan hati terbuka. Maafkan saya.

OK Chope! merupakan rancangan komedi yang disiarkan secara langsung setiap minggu yang memberi sudut lucu ehwal semasa.

Hos Vernetta Lopez dan para ahli panel Najip Ali, Mike Kasem, Rishi Budhrani dan Sam See, cuba untuk "chope" satu sama lain, untuk memberikan pandangan mereka tentang perkembangan terkini dalam media sosial, berita dan budaya pop.

PUTRAJAYA KELUAR KENYATAAN, 'AMBIL MAKLUM'

Sementara itu, Kementerian Ehwal Luar Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa ia "mengambil maklum akan permohonan maaf oleh rangkaian Channel 5 Mediacorp Singapura dan Encik Najip Ali, salah seorang ahli panel program “Ok Chope!”.

Kenyataan tersebut menambah, ia "memandang serius kenyataan dan komen negatif yang diutarakan dalam episod tersebut terhadap kepimpinan tertinggi Malaysia". Ia berharap perkara sebegitu tidak akan berulang lagi pada masa depan. Episod yang dipertikaikan itu disiarkan pada minggu lalu, 29 Mac.

Kenyataan Putrajaya itu selanjutnya menyebut, Malaysia dan Singapura sedang giat berusaha untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala.

Oleh itu menurutnya, penting untuk hubungan dua hala itu "terus dipelihara dalam suasana yang harmoni dan saling hormat menghormati".

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan