Images
  • liza
    Penyanyi popular Liza Hanim. (Gambar: Instagram/ Liza Hanim)

‘Rindu Selalu’ dengan Liza Hanim? Beliau bakal muncul dengan single baru

KUALA LUMPUR: Selepas lama menunggu, para peminat penyanyi Liza Hanim mungkin dapat mengubati rindu mereka.

Liza dilaporkan akan muncul dengan lagu single terbaru tidak lama lagi. Lagu berkenaan juga adalah kerjsama dengan penyanyi Hafiz Hamidun, bekas anggota kumpulan nasyid UNIC.

“Sebenarnya, saya sudah masuk studio rakaman. Buat masa ini ada bahagian yang ingin saya betulkan dahulu. Cuma tajuk lagu belum saya boleh kongsi lagi.

“Walaupun Hafiz terkenal melalui lagu-lagu Islamik tetapi lagu ciptaannya untuk saya tidak terarah ke situ,” kata penyanyi yang pernah popular dengan lagu Getaran Cinta di Jiwa pada tahun 1997 itu, kepada Utusan Online.

SIBUK BERNIAGA; ALAMI SAKIT BELAKANG


Anak-anak Liza Hanim.

Penyanyi berusia 38 tahun itu yang seangkatan dengan para penyanyi hebat seperti Siti Nurhaliza dan Misha Omar, mula menyepi selepas menerbitkan album terakhirnya pada 2007.

Beliau juga pernah memenangi anugerah vokal terbaik dalam Anugerah Juara Lagu (2002).

Menurut pihak media Malaysia, selepas Liza berkahwin beliau lebih sibuk menguruskan keluarga dan memulakan perniagaan dengan suaminya.

“Kami memulakan syarikat pengurusan majlis dan agensi pengiklanan bernama LH Media. Memandangkan kami sendiri terlibat dalam kesemua projek, ia mengambil masa yang lama,” ujar beliau seperti dipetik dari New Straits Times.


Liza bersama suaminya, Shahrin Samsudin, yang merupakan bekas anggota Indigo. (Gambar-gambar: Instagram/ Liza Hanim)

Dalam kesibukan itu, Liza juga memberitahu bahawa beliau tidak boleh terlampau aktif disebabkan masalah tulang belakang.

“Keadaan tidak membimbangkan sebab saya sudah bertemu dengan pakar. Buat masa ini saya perlu berjaga-jaga.

“Sebab itu saya banyak berehat dari menyertai pelbagai larian kini,” katanya kepada Utusan Online.

Anak kelahiran Selangor ini juga mengakui bahawa beliau berasa berbesar hati atas rakaman lagu ini namun sedar beliau harus mempertingkatkan ilmu bidang muzik terkini memandangkan sudah lama menyepi. 

- Agensi berita/RU/ru

Komen Anda?

Top