Images
  • hattan nash
    Penyanyi rock Melayu Hattan (kiri) dan Nash. (Gambar: YouTube)

Penyanyi rok, Hattan dan Nash, tunaikan haji bulan depan

MALAYSIA: Dua penyanyi legenda muzik rock, Hattan dan Nash bakal menunaikan ibadah haji selepas sekian lama menantikan peluang itu.

Sinar Harian (SH) melaporkan bahawa kedua-dua mereka juga menolak semua tawaran kerja yang diberikan pada seluruh bulan Ogos.

Ini kerana mereka dijadualkan ke Makkah pada 28 Ogos dan dijangka berada di sana selama dua minggu.

TOLAK PERSEMBAHAN SUKAN SEA 2017

Menurut laporan SH lagi, penyanyi yang terkenal dengan lagu Memburu Rindu, Hattan tidak teragak-agak untuk menolak tawaran persembahan walaupun untuk satu acara antarabangsa berprestij bulan depan, iaitu Sukan SEA 2017.

Beliau yang berusia 53 tahun berkata peluang keemasan untuk ke Makkah tidak harus dilepaskan walaupun tawaran menyanyi di Sukan SEA boleh dianggap sebagai satu pencapaian dalam kerjaya seni beliau.

“Sebenarnya, saya terkejut sebab inilah peluang yang dinanti semua umat Islam. Lagipun, peluang menunaikan haji datang sekali dan dah tentu saya takkan lepaskan.

“Apabila dimaklumkan saya antara jemaah yang terpilih, bulu roma saya meremang kerana terlalu teruja. Sebab itu, saya terus tolak tawaran menjayakan persembahan berskala besar sebab mengutamakan ibadat haji," katanya yang memang mengimpikan untuk menunaikan ibadah itu selepas dua kali mengerjakan umrah kepada SH.

NASH RINDU PADA TANAH SUCI

Penyanyi Nash, 57 tahun, juga meluahkan kerinduan untuk ke tanah suci dan kerap menyimpan hasrat untuk mengerjakan ibadah haji selama ini.

“Jika ditanya kepada sesiapa pun, pilihan sama ada ingin ke London atau mengerjakan haji, dah tentu kita akan pilih buat haji. Lagipun, saya dah dua kali mengerjakan umrah dan kerinduan untuk ke sana tidak pernah terpadam. Saya rindu untuk berdoa di makam Rasulullah dan beribadah di Makkah.

“Insya-Allah, akhirnya, saya dapat mengerjakan haji tahun ini,” katanya seperti ditukil oleh SH.

Beliau juga akan menyertai kursus haji pada masa yang terdekat ini, tambah laporan tersebut.

“Saban hari saya sentiasa muhasabah diri kerana dalam kehinaan dan dosa yang banyak, Dia jemput saya ke sana.

“Saya akan masuk kursus haji dan berjumpa ustaz untuk belajar dengan mereka agar mendapat haji yang mabrur,” katanya yang ditukil SH. 

- Agensi berita/ru

Komen Anda?

Top