Images
  • M. Ishak
    Petikan gambar dari video. (Gambar: YouTube)

Penyanyi pop yeh yeh M. Ishak meninggal dunia

SINGAPURA: Penyanyi pop yeh yeh era 60-an dan 70-an, M. Ishak, yang popular dengan lagu 'Yale Yale', meninggal dunia pada usia 72 tahun, 11.30 malam tadi (2 Feb).

Anak sulung beliau, Mohd Nazaruddin, 42 tahun, atau dikenali sebagai Zack, memberitahu BERITAMediacorp bahawa Allahyarham, yang nama sebenarnya ialah Mohamed Isahak Shaik Mohamed, menghembuskan nafas terakhir di Hospis Dover Park.

Allahyarham meninggal dunia setelah bertarung dengan penyakit barah tahap empat, yang disahkan dihidapinya sekitar sebulan lalu.

Encik Zack ketika dihubungi BERITAMediacorp berkata kali terakhir bapanya membuat persembahan ialah di Kuala Lumpur pada Januari lalu.

Ketika itu, katanya, Allahyarham kelihatan masih sihat dan mampu menyanyi seperti biasa, namun setelah pulang ke Singapura, beliau mengadu sakit tekak dan disahkan menghidapi barah tahap empat.

DIBERITAHU BAPA HANYA ADA 6 BULAN UNTUK HIDUP

"Penyakit ini datang mendadak. Doktor beritahu kami bapa hanya ada 6 bulan untuk hidup, namun barahnya cepat merebak," kata Encik Zack, yang bekerja sendiri.

Kata Encik Zack, setelah itu Allahyarham dirawat di Hospital Tan Tock Seng selama lima hari sebelum dibenarkan pulang.

Namun akibat sudah tidak tahan sakit, Allahyarham kembali ke TTSH.

Keadaan beliau semakin tenat dan doktor mengesahkan penyakit barah yang dihidapinya sudah merebak ke bahagian leher dan otak, malah berat badannya susut, kata Encik Zack lagi.

Allahyarham dirawat di TTSH sekitar tiga minggu sebelum dipindahkan ke Hospis Dover Park, sekitar seminggu sebelum menghembuskan nafas terakhir, kata anak sulungnya itu.

Kata Encik Zack, kali terakhir beliau bercakap dengan bapanya itu adalah sekitar dua hari lalu.

"HANYA SEBUT IBU...IBU.."

"Arwah tak cakap banyak, hanya berulang kali sebut ibu, ibu... Selepas itu beliau tidak mampu menjawab kerana ulser dalam tekaknya. Beliau tak sempat beri sebarang pesanan," ujarnya kepada BERITAMediacorp.

Encik Zack berkata mungkin bapanya sudah lama rasa sakit, cuma tidak memaklumkan anak-anaknya dan hanya menahan sakit hingga keadaannya semakin teruk.

Beliau berkata bapanya seorang yang murah hati dan menganggap menyanyi sebagai hobinya, hingga sering menerima tawaran menyanyi di majlis kahwin, konsert, Expo, dan lain lagi.

"Dia orangnya tak campur hal orang lain, hobinya hanya menyanyi. Dia tak berkira dan murah hati. Kalau dibayar nyanyi satu lagu, beliau akan nyanyi 2 hingga 3 lagu," kata Encik Zack lagi.

Seorang lagi anaknya, Masjuri M. Ishak dalam Facebooknya menulis: "Halal kan makan minum beliau dan maafkan kesalahan beliau semasa hayatnya."

Salam Everyone, My Father, the legendary M.Ishak has left to meet the Almighty.. The body is now at Blk 19 Boon Keng ...

Posted by Masjuri M'Ishak on Thursday, 2 March 2017

Menurut Encik Zack, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Khadijah tengah hari ini, sebelum dikebumikan selepas solat Jumaat.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, empat anak dan 13 cucu.

Jatt Ali (Black Dog Bones) juga menulis di Facebooknya bahawa "sahabat seperjuangan penyanyi pop yeh yeh" itu sudah kembali ke Rahmatullah.

PERKAMUS dalam Facebooknya pada 3 Februari memuat naik gambar Yusnor Ef mengunjungi dan memberikan sedikit sumbangan kepada M. Ishak di TTSH yang terlantar sakit, sambil meminta orang ramai mendoakan agar beliau pulih.

Kelmarin, Cikgu Yusnor dan ahli perkamus yang lain ke Tan Tock Seng Hospital untuk melawat dan memberikan sedikit...

Posted by PERKAMUS on Friday, 3 February 2017

Berita Harian Malaysia pada 1 Februari lalu, menukil kakak Allahyarham, Sadiah, 73 tahun, melaporkan barah paru-paru yang dihidapi Allahyarham sudah mula merebak ke bahagian leher, menyebabkannya hilang selera untuk makan.

"Lebih menyedihkan, doktor mengatakan jangkitan itu mungkin mula menyerang bahagian otak dan ia menyebabkannya kadang kala menjadi pelupa," kata beliau kepada BHM ketika itu.

Menurut Cik Sadiah lagi, M. Ishak masih aktif menyanyi di Malaysia dan Singapura meskipun usianya sudah mencecah lebih tujuh dekad.

Allahyarham pernah menerbitkan dua album iaitu The Young Lovers (1967) dan Joget Si Hitam Manis (1970).

Laporan berkaitan:

Penyanyi era Pop Yeh-Yeh, M. Ishak masuk hospital akibat barah paru-paru

- Agensi berita/BERITAMediacorp/nd

Komen Anda?

Top