Images
  • AMelina
    Amelina bersama biskut raya yang dijualnya. (Gambar: BERITAMediacorp)

Penyanyi dangdut Amelina niaga kuih di Tampines, isytihar sudah bebas segala hutang

BERITAMediacorp: Penyanyi dangdut popular era 90-an dengan lagu seperti Secangkir Madu Merah, Asyik dan banyak lagi, Amelina, kini sibuk berniaga di Our Tampines Hub sehingga 22 Jun, sempena Ramadan ini.

Bagi peminat Amelina, ini masanya untuk merasai air tangannya sendiri menyediakan pelbagai biskut dan kuih Raya untuk pelanggan setempat juga para peminatnya.

Amelina, 43 tahun, memberitahu BERITAMediacorp tercetusnya idea untuk berniaga dan memulakan ‘Amelina Cookies’ ini bukan hanya untuk menjana pendapatan untuk keluarganya. Sambil menyelam minum air, ini juga langkah Amelina untuk bertemu peminat dan mendekati mereka yang khusus berada di Singapura.


(Gambar: BERITAMediacorp)

AMELINA: JUALAN KUIH LARIS

Anak kelahiran Nilai, Negeri Sembilan itu juga menjelaskan, inilah pengalaman pertamanya berniaga kuih di bulan Ramadan dan tidak menjangkakan akan mendapat sambutan yang menggalakkan dari pembeli di Singapura, walaupun sekadar ‘mencuba-cuba dahulu’.

Amelina Cookies merupakan biskut buatan tangan yang diolah resepinya oleh Amelina sendiri dan keluarganya. Setakat ini mereka menjual 7 jenis kuih dan biskut Raya seperti Dipped Chocolate Tarts, Cheesy Semperit, Batang Buruk Moden dan best-seller beliau dan mendapat sambutan hangat adalah biskut Crispy Chocolate Chips.

“Amelina amat terkejut dan teruja dengan sambutan dan respons yang diterima dari para pelanggan dan peminat ke atas perniagaan biskut sulung saya ini,” kongsi beliau kepada BERITAMediacorp.

Amelina mendedahkan, setiap kali ke Singapura, beliau akan membawa hampir 100 botol kuih, dan kebanyakannya akan habis dan perlu dibuat lagi pada minggu berikutnya.

Harga Amelina Cookies bermula dari $18 hingga $30 sebotol, bergantung pada jenis biskut yang dipilih. 


(Gambar: BERITAMediacorp)

MESEJ ‘KEHADIRAN KEMBALI’ KEPADA PEMINAT

“Walaupun tiada pengalaman dan selok-belok ilmu berniaga yang terperinci, namun Amelina nekad ingin mencuba berjualan biskut Raya bermula di Singapura. Bukan setakat ingin mencari rezeki, tetapi Amelina juga ingin mengambil kesempatan dan memberitahu para peminat Amelina ‘kehadiran kembali’ atau comeback Amelina di persada seni,” tambah kata Amelina, yang nama sebenar beliau ialah Norazlina Amir Sharipuddin.

Amelina ‘menghilangkan diri’ selama sekitar 15 tahun pada tahun 2000 ekoran kontroversi membabitkan dirinya. Namun beliau percaya, ramai peminat masih lagi tertanya dan tetap mengambil berat tentang keadaan dirinya.

“Apa yang penting kini, saya sudah pun kembali aktif dan sekembalinya saya di persada seni ini memang saya niatkan untuk ‘mencari duit’ secara halal untuk membesarkan anak-anak saya,” ujar ibu tunggal ini dengan tulus.


(Gambar: Amelina/Instagram)

LUNASKAN HUTANG, CERITA LAMA JADI “PENGAJARAN”

Amelina juga tidak menafikan perlu menanggung hutang lapuk dan perlu menyelesaikannya seorang diri setelah berpisah dari bekas suaminya.

Kini beliau menyatakan kepada BERITAMediacorp bahawa beliau sudah pun selesai melunaskan segala hutang-hutang yang perlu dipikulnya dan ingin terus maju dan memandang kehadapan demi untuk membina kehidupan yang lebih bahagia, lebih bermakna dan berjaya bersama enam orang anaknya.

“Amelina ingin menjelaskan biarlah cerita lama ini menjadi pengajaran yang berguna pada diri Amelina. Segala hutang sudah pun selesai Amelina langsaikan, walaupun bukan diri ini yang bersalah sama sekali.

“Biarlah cerita perit ini dikuburkan dan usahlah diungkit lagi. Amelina hanya ingin fokus membesarkan dan menjaga anak-anak Amelina dan mempertingkatkan diri dalam kerjaya seni, dan juga jika ada rezeki lebih, ingin mempunyai perniagaan yang berjaya atau business empire sendiri, satu hari nanti, Insya-Allah,” cerita mantan Ratu Dangdut Malaysia itu yang kini sibuk menyara anak-anaknya yang berusia lapan hingga 16 tahun.


(Gambar: Amelina/Instagram)

AMELINA: BANYAK ‘SHOW’ MENANTI SELEPAS RAYA NANTI 

Untuk persiapan Lebaran ini, Amelina sudah pun menyediakan beberapa pasang pakaian untuk anak-anak dan dirinya. Mereka menyambut secara serba sederhana. Ada pakaian yang sudah ditempah dan ada juga dibeli ‘pasang siap’ kerana tidak suka berbelanja di saat-saat terakhir Ramadan.

Seminggu lepas Raya nanti, jadual Amelina sudahpun padat dengan pertunjukan korporat dan undang untuk persembahan di TV.

“Saya perlu berbelanja dan menyiapkan segala keperluan untuk mereka, jadi persiapan perlu dibuat lebih awal. Amelina juga tidak suka ber-shopping last minute. Kami sekeluarga akan beraya di Kuala Lumpur bersama ibu dan adik saya.

“Minggu pertama Raya saya rehat, tetapi lepas itu jadual untuk show memang padat, ini semua rezeki anak-anak, Alhamdullilah,” kata Celebrity Partner bagi Diana Cosmetics ini lagi sambil tersenyum.


(Gambar: Amelina/Instagram)

AMELINA MAHU KERJASAMA DENGAN KOMPOSER SINGAPURA

Menyentuh tentang album terbarunya pula, Amelina, yang pernah sinonim dengan lagi Memori Daun Pisang bersama penyanyi Iwan, menyatakan beliau sedang mencari bahan untuk album terbarunya, dan berharap dapat memulakan rakaman pada tahun hadapan.

Pada masa yang sama juga, Amelina berharap dapat bekerjasama dengan komposer-komposer Indonesia, Malaysia dan juga Singapura.

Amelina percaya mereka semua mempunyai kepakaran dan kekuatan yang berbeza dari yang lain, dan berharap kerjasama ini akan dapat direalisasikan pada tahun hadapan, untuk album terbaru Amelina nanti,” jelasnya kepada BERITAMediaCorp. 

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top