Images
  • datuk seri vida
    Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman mengakui beliau dalam proses bercerai dengan suaminya Fairuz Ahmad Zainuddin. (Gambar: Instagram/ Dato Seri Vida)

Pengasas Qu Puteh, Datuk Seri Vida akui dalam proses bercerai

KOTA BHARU: Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman, 46, atau Vida mengakui beliau dalam proses bercerai dengan suaminya Fairuz Ahmad Zainuddin, menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan meminta supaya peminat memberikan sedikit ruang kepadanya buat sementara waktu.

"Ya saya akui, saya dalam proses untuk bercerai. Tetapi buat masa ini lebih baik saya berdiam diri kerana bimbang akan mengeruhkan keadaan.

"Insya-Allah jika ada perkembangan lanjut saya akan kongsikan kepada anda semua," katanya, dalam petikan laporan Utusan Malaysia.

Sebelum ini, tersebar khabar angin mengatakan mahligai cinta pengasas produk Vida Beauty itu mula bergoncang sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau berharap semua pihak mendoakan yang terbaik untuk beliau menempuh ujian getir itu.

“Berilah saya ruang untuk menyelesaikan semua kekusutan yang melanda ketika ini,” katanya.

Meskipun bagitu, beliau bersyukur kerana mempunyai anak-anak dan peminat yang sentiasa berada di sisi dalam apa jua keadaan.

“Sokongan daripada mereka inilah membuatkan saya kuat untuk mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan hidup,” ujarnya, dalam tukilan laporan Utusan Malaysia.

Datuk Seri Vida bernikah dengan Fairuz pada Januari 2014, yang juga perkahwinan ketiganya.

- Agensi berita/im

Komen Anda?

Top