Images
  • ar rahman
    Pemuzik A.R Rahman sudah berkecimpung dalam industri muzik selama 25 tahun. (Gambar: A R Rahman/Instagram)

Pemuzik tersohor, A.R Rahman akui Islam banyak membantu kerjaya seninya

LONDON: Diam tak diam sudah 25 tahun pemuzik terkenal A.R Rahman melibatkan diri dalam industri muzik.

Sempena meraikan ulang tahun ke-25 dalam industri berkenaan, pemuzik tersohor itu mengakui Islam banyak membantu kerjaya beliau, lapor laman Gulf News.

Dalam satu wawancara bersama Reuters pada Khamis lalu (6 Jul), beliau berkata tafsirannya tentang agama Islam adalah kehidupan yang mudah dan yang paling utama sikap rendah hati.

Menurut A.R Rahman, beliau berpegang kepada falsafah Sufi, yang mengajar tentang kasih sayang.

"Diri saya sekarang adalah disebabkan falsafah yang saya pegang, keluarga saya juga mempunyai pegangan yang sama," ujat beliau.

Pemuzik berusia 50 tahun itu, yang pernah memenangi dua anugerah Oscar, dua Grammy dan satu Golden Globe, sudah merakamkan lebih 160 runut bunyi (OST).

Ini termasuk OST filem 'Slumdog Millionaire' dan juga filem-filem Bollywood seperti Lagaan dan Taal, lapor laman Gulf News.

Terbaru, muzik beliau bagi filem Viceroy's House, Or Partition: 1947 disenarai pendek bagi Anugerah Runut Bunyi Sedunia.

Selain menyanyi, menulis, menggubah lagu dan bermain peralatan muzik A.R Rahman juga pernah bekerjasama dengan artis-artis terkenal lain termasuk Mike Jagger, Pussycat Dolls dan Siti Nurhaliza.

Semalam (8 Jul) beliau memulakan konsert jelajah terbarunya di Wembley SSE Arena di London.

Beliau berkata konsert itu bakal membawa para peminatnya mengimbau perjalanan muziknya, lapor laman Gulf News. 

- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top