Images
  • Osman Zailani
    Osman Zailani. (Gambar: M Osman Zailani Amn/Facebook)

Pelakon veteran Osman Zailani sudah 18 hari terlantar sakit di hospital

SINGAPURA: Bulan Ramadan dan Syawal ini mungkin bulan yang perit bagi pelakon mapan Osman Zailani. Beliau dimasukkan ke hospital, bukan sehari dua, tetapi kini sudah 18 hari beliau berada di rumah sakit akibat jangkitan paru-paru.

Sumber yang dekat dengan Osman Zailani memberitahu BERITAMediacorp, pelakon itu yang nama sebenarnya ialah Mohammad Bin Kechot, dimasukkan ke Hospital Khoo Teck Puat dua hari sebelum Hari Raya (23 Jun).

"Sebenarnya sebelum itu beliau dimasukkan ke sebuah hospital di Kuala Lumpur selama 10 hari. Namun keadaannya tiada perubahan, jadi beliau dibawa pulang ke Singapura dan terus dimasukkan ke Hospital Khoo Teck Puat," kata sumber itu yang enggan identitinya didedahkan.

Sumber itu memberitahu BERITAMediacorp, sejauh ini keadaan Osman Zailani masih tiada perubahan.

Menyifatkan Osman Zailani sebagai seorang yang "bersemangat kental", beliau menambah, meskipun kurang sihat ingatan beliau masih kuat.

"Beliau juga boleh berbual tapi sedikit saja. Apa saja yang beliau lakukan membuatkan dirinya keletihan. Jadi beliau juga berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

"Sebelum ini jika ada sakit pun, ia sakit-sakit biasa. Tiada yang serius. Bila imun tubuh sudah tidak kuat antara yang pertama terjejas adalah paru-paru," menurut sumber itu lagi.


(Gambar ihsan: Sumber yang dekat dengan Osman Zailani)

BAKAT DAPAT PERHATIAN PENGARAH ANTARABANGSA

Osman Zailani mewarnai industri seni Singapura dan Malaysia menerusi drama-drama dan filem, antaranya Banting (2014), Suratan Kasih (1995) dan Sesejuk Airmata Ibu (1981).

Osman Zailani juga antara segelintir pelakon berbakat besar yang berjaya mendapat perhatian penerbit dan pengarah filem antarabangsa, dan pernah berlakon dalam siri drama dan filem Hollywood.

Pada tahun 1979, beliau pernah menjayakan watak Ong Lee dalam siri televisyen popular

Hawaii Five-O dan juga watak Bob dalam filem Saint Jack.


(Gambar ihsan: Sumber yang dekat dengan Osman Zailani)

JANGAN MUAT NAIK GAMBAR KE MEDIA SOSIAL

Sumber itu memberitahu BERITAMediacorp: "Kami tak kisah jika orang tahu Osman Zailani (tidak sihat), kami mohon doa daripada orang ramai. Daripada mereka yang kenal beliau, baik yang sudah lama mengenali beliau, mahupun yang baru.

"Cuma kalau boleh jangan dimuat naik gambar-gambar beliau dalam keadaan tidak sihat (ke media sosial). Osman Zailani sendiri mungkin tidak mahu gambar beliau dimuat naik ke media sosial. Kita harus hormati permintaan itu. Kami hanya mengharapkan doa orang ramai," tambah sumber itu.

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top