Images
  • Shia LeBeouf
    Pelakon Shia LaBeouf. (Gambar: Shia LaBeouf Daily/Instagram)

Pelakon Shia LaBeouf ditahan, didakwa mabuk di tempat awam

AMERIKA SYARIKAT: Pelakon Shia LaBeouf ditahan dan didakwa atas kesalahan menghalang, berkelakuan tidak senonoh dan mabuk di tempat awam.

Menurut polis, pelakon filem Transformers itu ditangkap di Savannah, Georgia sekitar pukul 4.00 pagi semalam (8 Jul), lapor laman CNN.

LaBeouf, 31 tahun, kemudian dibebaskan dari Pusat Tahanan Chatham Country pada hari yang sama setelah membayar ikat jamin sebanyak AS$7,000 (S$9,670), menurut polis.

LaBeouf menghampiri seorang pejalan kaki dan seorang pegawai polis dan meminta sebatang rokok, menurut kenyataan Jabatan Polis Metropolitan Savannah-Chatham.

LaBeouf kemudian mula berkelakuan tidak senonoh dan menghamburkan kata-kata kesat apabila tidak diberikan rokok, menurut kenyataan itu lagi.

Pelakon itu diarahkan supaya meninggalkan kawasan tersebut namun enggan, malah bertindak agresif terhadap pegawai polis berkenaan, lapor CNN.

"Apabila pegawai itu mencuba untuk menangkap LaBeouf, pelakon itu berlari ke sebuah hotel berdekatan," menurut kenyataan polis.

"LaBeouf ditangkap di lobi hotel tersebut, di mana beliau terus berkelakuan tidak senonoh."

Pelakon itu berada di Savannah bagi penggambaran filem, 'The Peanut Butter Falcon', bersama Dakota Johnson dan Bruce Dern.

Insiden itu bukanlah kali pertama LaBeouf menyalahi undang-undang.

Pada bulan Januari, LaBeouf ditangkap di New York setelah bergelut dengan seorang lelaki di satu pameran seni. Tuduhan terhadap pelakon itu bagaimanapun digugurkan.

Selain itu, LaBeouf juga pernah ditangkap pada tahun 2015 kerana mabuk di tempat awam di Texas dan pada tahun 2008 kerana memandu dalam keadaan mabuk di California, lapor CNN.

Pada tahun 2014, LaBeouf mengaku bersalah atas satu pertuduhan berkelakuan tidak senonoh setelah mengamuk di sebuah teater Broadway.

Pelakon itu bersetuju untuk mendapatkan rawatan bagi penyalahgunaan alkohol sebagai sebahagian daripada huraian insiden tersebut.

- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top