Skip to main content

Iklan

Iklan

Pelakon Indonesia dalam filem Star Wars ceritakan pengalaman mereka

Penggambaran filem Star Wars: The Force Awakens bermula sejak bulan Ramadan tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon Indonesia dalam filem Star Wars ceritakan pengalaman mereka

Yayan (kiri), Iko (tengah) dan Cecep (kanan) berlakon watak antagonis dalam Star Wars. (Gambar: Merdeka.com)

Diterbitkan : 16 Dec 2015 09:27PM Dikemas Kini : 16 Dec 2015 09:31PM

MERDEKA.COM: Penggambaran filem Star Wars: The Force Awakens bermula sejak bulan Ramadan tahun lalu.

Demikian diceritakan oleh tiga pelakon Indonesia, iaitu Iko Uwais, Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman, yang turut berlakon dalam filem yang amat dinanti-nantikan oleh para penonton seluruh dunia itu.

Menurut Iko, beliau tidak menyangka bahawa proses penggambaran filem tersebut amat rumit dan mempunyai peraturan yang begitu ketat, sehingga mereka sendiri tidak tahu jalan cerita sebenar filem terbaru Star Wars itu.

"Terus terang, saya cuma mengikut arahan dari pengarah. Saya tidak satu soal ceritanya. Saya cuma tahu, apabila saya sampai di lokasi, diberi skrip kemudian skripnya diambil semula setelah selesai penggambaran pada hari itu," jelas Iko kepada Merdeka.com di Jakarta semalam (15 Dis).

Bahkan, sebelum menjalani penggambaran, Iko, Yayan dan Cecep diwajibkan menandatangani surat perjanjian.

Mereka tidak dibenarkan membocorkan sebarang hal berkaitan proses penggambaran apatah lagi jalan cerita filem berkenaan.

GHAIRAH WALAUPUN BAWA WATAK JAHAT

Ketiga-tiga pelakon itu dimaklumkan bahawa mereka akan berlakon di bahagian "dark side" filem yang diarahkan oleh JJ Abrams itu.

Namun, mereka tetap berasa gembira dapat memegang watak dalam filem tersebut walaupun watak antagonis.

"Kami senang dapat memegang watak jadi orang jahat, tidak ada masalah. Kalau watak baik itu seperti makan gaji buta. Jadi orang jahat lebih lumayan, kita bekerja bagaimana untuk berpura-pura menjadi orang jahat," cerita Yayan.

Yayan yang mula menebarkan sayap kerjayanya ke ruang antarabangsa memang teringin untuk membawa watak ikonik dalam filem Star Wars.

Namun, menyerahkan keputusan di tangan pengarah.

"Siapa yang tidak mahu pegang watak ikonik. Tapi yang lebih tahu jalan ceritanya hanyalah pengarah. Kami hanya berharap yang terbaik. Kami bangga dapat terlibat dalam filem ini. Semoga pelibatan kami dalam filem sebesar ini, membawa kebanggaan kepada negara," tambahnya.

Star Wars: The Force Awakens merupakan filem fantasi angkasa yang pertama sejak sedekad lalu dan para peminat begitu ghairah menantikan tayangannya.

Filem Star Wars akan mula ditayangkan di Singapura esok (17 Dis).

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan