Pelakon Didie Alias masuk mahkamah lagi 14 Nov ini bagi kes saman
Mahkamah Sesyen menetapkan empat hari bermula 14 Nov depan bagi perbicaraan kes saman penerbit drama dan pelakon, Datuk Rafena Ezanee Ramli terhadap pelakon Didie Alias yang didakwa melanggar kontrak serta mengaibkannya menerusi media dan media sosial.
SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen menetapkan empat hari bermula 14 Nov depan bagi perbicaraan kes saman penerbit drama dan pelakon, Datuk Rafena Ezanee Ramli terhadap pelakon Didie Alias yang didakwa melanggar kontrak serta mengaibkannya menerusi media dan media sosial.
Hakim Nik Nasimah Nik Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini (12 Jul).
Rafena Ezanee dan Didie hadir ke mahkamah bersama peguam masing-masing iaitu Mohd Fadhly Hashim dan Azlan Abdul Razak.
Mohd Fadhly ketika ditemui pemberita memberitahu pihaknya akan memanggil enam orang saksi sementara Azlan memaklumkan pihak defendan akan mengemukakan tiga saksi.
Kedua-dua peguam itu juga berkata kedua-dua pihak berkemungkinan cuba menyelesaikan kes di luar mahkamah melalui proses mediasi.
Dalam saman yang difailkan pada 21 Mac lalu, Rafena Ezanee dan syarikat penerbitannya, Dark Wave Pictures Sdn Bhd menamakan Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohammad yang merupakan mantan penerbit eksekutif syarikat itu, sebagai defendan.
Dalam penyataan tuntutannya, plaintif mendakwa Didie telah menerima RM7,000 untuk melakukan kerja-kerja penerbitan bagi satu Travelog diberi nama “Street Food Asian” sebanyak 13 episod, namun defendan didakwa sengaja/ cuai/ gagal melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam perjanjian menyebabkan kedua-dua plaintif mengalami kerugian.
Plaintif mendakwa defendan gagal/cuai dan enggan memastikan mutu travelog itu berada pada tahap yang memuaskan serta sengaja memburuk-burukkan plaintif mengenai pengeluaran dan atau penerbitan travelog berkenaan.
Didie juga didakwa dengan sengaja memburuk-burukkan dan mengaibkan kedua-dua plaintif mengenai pengeluaran dan penerbitan travelog berkenaan di dalam laman Instagramnya dan akhbar sehingga terdapat komen yang menjatuhkan maruah plaintif.
Akibat tindakan defendan, plaintif mendakwa mengalami tekanan emosi, trauma dan kerugian.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas RM7,000 (S$2,250), ganti rugi am RM100,000 (S$32,200) bagi tekanan emosi/trauma dan kerugian berkenaan travelog tersebut yang gagal disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan serta ganti rugi am RM300,000 (S$96,500) bagi tekanan emosi/trauma serta malu apabila defendan didakwa memfitnah dan mengaibkan plaintif melalui media sosial, elektronik dan akhbar.
Plaintif juga menuntut satu perintah supaya defendan berhenti memburuk-burukkannya serta memohon maaf secara terbuka berhubung fitnah berkenaan selain faedah, kos dan relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.