Images
  • Boy Iman
    Datuk Noruliman A. Rahman atau Boy Iman. (Gambar: Dato Boy Iman Dato Boy Iman Dato Boy Iman/Facebook)

Pelakon Boy Iman direman lagi di Johor, pada hari sama dilepaskan dari tahanan

MUAR: Mahkamah Majistret di Muar membenarkan tahanan reman selama dua hari bermula hari ini (5 Okt) terhadap Pengarah Urusan DBI Properties Datuk Noruliman A. Rahman bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta (S$4.6 juta).

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Nor'iza Mohamad di Kompleks Mahkamah Muar hari ini.

Sebelum ini, pelakon berusia 37 tahun yang dikenali sebagai Boy Iman, direman di Ampang selama dua hari bermula Selasa lalu (3 Okt) kemudiannya ditahan semula petang semalam (4 Okt), sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Muar (IPD).

Terdahulu suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga dengan tangan bergari tiba di pekarangan mahkamah pada 9.00 pagi diiringi anggota polis.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata jumlah laporan terhadap kes tersebut bertambah daripada 188 kepada 201 berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources (SJKGR).

Pihak polis katanya akan akan memanggil beberapa lagi individu untuk membantu siasatan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada Selasa (3 Okt), polis juga menahan dua suspek berusia 29 tahun dan 45 tahun dan merampas sebuah kereta Nissan Fairlady, sebuah kereta BMW E92, tiga unit telefon bimbit, sijil ijazah doktor falsafah (PhD) dan pelbagai dokumen syarikat DBI Properties dan Juta Kelulut.

Sebelum itu, penyanyi Nassier Wahab turut melahirkan rasa sedih dan terkilan dengan kekecohan berkaitan syarikat perumahan yang diterajui Boy Iman, lapor laman mStar pada Selasa (3 Okt).

Nassier yang juga duta syarikat tersebut berkata, apa yang berlaku adalah di luar jangkaan beliau dan beliau berjanji akan mencari jalan penyelesaiannya.

"Saya masih belum berkesempatan untuk bertemu Datuk Boy kerana baru pulang dari Makkah dua hari lepas. Keadaan kesihatan saya juga tidak mengizinkan untuk berjumpa dengannya. Isu dibangkitkan adalah mengenai syarikat diberi nama DBI Property dan saya pula dilantik menjadi duta untuk syarikat DBI Technology.

"Saya juga dimaklumkan penahanan dia adalah bagi membantu siasatan tentang syarikat lamannya iaitu DBI Property.

"Insya-Allah bila kes itu sudah reda saya akan bertemu Boy Iman untuk membincangkan jalan penyelesaiannya. Saya sendiri berasa sedih dengan apa yang berlaku kerana adalah di luar jangkaan," ujarnya kepada mStar Online. 

- Bernama/ agensi berita/NK/nk

Komen Anda?

Top