Images
  • 2
    Antara watak-watak animasi sebahagian pameran The Golden Age of Animation (1928 - 1967) yang sedang berlangsung di MINT Museum of Toys. (Gambar-gambar: Helmy/BERITAMediacorp)

Pelajari sejarah awal Mickey Mouse, Popeye dan watak animasi lain di MINT Museum of Toys sempena cuti sekolah ini

SINGAPURA: Masih ingat lagi Mickey Mouse, Popeye dan Felix The Cat?

Watak-watak animasi inilah yang digemari ramai kanak-kanak sejak lewat tahun 1920an lagi.

Meskipun sudah melalui evolusi dan berubah wajah, ia masih lagi berjaya menarik minat, bukan setakat kanak-kanak, malah orang dewasa juga.

Jika dahulu dua dimensi (2D), ia kini ditonjolkan dalam bentuk tiga dimensi (3D) dan lebih interaktif. Yang pasti, ia bukan sekadar hiburan semata-mata.

TERAP NILAI PEMBELAJARAN DALAM SUASANA SANTAI

Pameran The Golden Age of Animation (1928 - 1967) di MINT Museum of Toys, menonjolkan reka bentuk awal watak-watak animasi popular, termasuk Flintstones, Superman, Snoopy dan Betty Boop.

Menerusi pameran ini, para ibu bapa boleh menerapkan nilai-nilai pembelajaran yang positif dalam suasana santai.

Minda kanak-kanak pasti terbuka untuk mengenali dengan lebih dekat sejarah watak-watak animasi tersebut selain mempelajari usaha di sebalik pembikinan animasi kegemaran mereka.

"Apa yang boleh dipelajari kanak-kanak adalah permainan itu semua sama tetapi harus ada perubahan mengikut peredaran zaman ... unsur-unsur asli itu tetap ada," Encik Fakhrul Arifin Mohamed Hussein memberitahu BERITAMediacorp.

Menurut perunding kewangan berusia 37 tahun ini, pengalaman berinteraksi dengan anak-anak beliau semasa mengunjungi pameran tersebut turut menjadi jambatan yang mengeratkan lagi hubungan mereka.

Selain itu, kunjungan ke MINT Museum of Toys mendedahkan kanak-kanak bukan sahaja kepada mainan-mainan lama malah membuat perbandingan dengan yang ada sekarang.

Di sinilah ibu bapa boleh menekankan kepada anak-anak tentang pentingnya mainan bercorak pembelajaran.

WATAK-WATAK ANIMASI 'DIHIDUPKAN'

Yang menariknya, buat pertama kali MINT Museum of Toys menggabungkan animasi-animasi klasik dengan teknik-teknik moden menerusi teknologi Realiti Tambahan (AR).

Ini bermakna watak-watak animasi disuntik nafas baru, membolehkan para pengunjung berinteraksi dengannya.

"Bagi kanak-kanak yang tidak mengenali watak-watak animasi ini, apabila mereka datang ke sini mereka menganggapnya sebagai mainan-mainan baru watak-watak kegemaran mereka dengan rekaan 'baru' yang belum pernah dilihat," jelas Rio Liang, Pegawai Eksekutif Penjualan & Pemasaran MINT Museum of Toys.

Setelah menyaksikan pameran interaktif itu, Cik Suhaliana Ali, 34 tahun, menggalak anaknya, Eshann Mateen Firdaus yang berusia enam tahun untuk meneroka idea-idea kreatif.

"Ini dapat meningkatkan lagi daya kreativiti dan juga imaginasi seseorang anak," kata Suhaliana.

Suami beliau, Firdaus Ghani, 34 tahun, pensyarah Sekolah Pengurusan & Komunikasi di Politeknik Republic bersetuju dengan pandangan tersebut.

Pameran The Golden Age of Animation akan berlangsung sehingga 29 Disember ini.

Tiket-tiket boleh dibeli pada harga $15 di MINT Museum of Toys. 



- BERITAMediacorp/HS/hs

Komen Anda?

Top