Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pak Jabit, pelakon filem Hantu Kak Limah, meninggal dunia

Pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Abdul Kadir Ab Manaf atau lebih dikenali sebagai Pak Jabit, iaitu nama watak beliau dalam filem itu, meninggal dunia pada 7.10 pagi tadi (7 Sep) di Klinik Kesihatan Lanchang, Pahang. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pak Jabit, pelakon filem Hantu Kak Limah, meninggal dunia

Abdul Kadir Ab Manaf (kanan) atau lebih dikenali sebagai Pak Jabit, meninggal dunia pagi tadi. (Gambar: Mohamed Azahar/ Facebook)

Diterbitkan : 07 Sep 2017 10:57PM Dikemas Kini : 07 Sep 2017 11:03PM

KUALA LUMPUR: Pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Abdul Kadir Ab Manaf atau lebih dikenali sebagai Pak Jabit, iaitu nama watak beliau dalam filem itu, meninggal dunia pada 7.10 pagi tadi (7 Sep) di Klinik Kesihatan Lanchang, Pahang. 

Anak ketiga Allahyarham, Siti Aishah Puteri berkata bapanya yang berusia 68 tahun, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kecemasan setelah mengadu sesak nafas sewaktu hendak mengejutkan isterinya untuk menunaikan solat subuh pagi tadi.  

"Arwah mula sesak nafas pada 4.00 pagi dan adik lelaki saya telah bawa dia ke klinik. Setelah mendapatkan rawatan ayah pulang ke rumah sebelum dibawa semula ke klinik. Ayah memang ada masalah jantung tapi cuma batuk-batuk biasa.

"Semalam pun ayah sihat lagi, dia masih pergi ke warung untuk berniaga seperti biasa, malam semalam pun ayah pergi ke hospital untuk melawat menantunya, cuma hari ini dia mula sakit," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Jenazah Allahyarham yang turut dikenali dengan nama Man Kadir Shamsi dibawa ke Masjid Kampung Rantau Panjang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang sebelum solat zohor tadi. 

"Jenazah sudah disembahyangkan di rumah tetapi kami sekeluarga akan bawa ayah ke masjid untuk disembahyangkan sekali lagi untuk beri peluang kepada rakan-rakan arwah sertai solat jenazah," katanya awal hari ini. 

Pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat Khalid ketika dihubungi berkata pemergian arwah amat dirasai beliau kerana Allahyarham amat rapat dengan beliau dan keluarga produksi. 

"Saya mula mengambil beliau berlakon dari tahun 1998 dalam cerita Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel. Bermula dari situ saya sering mengambil beliau bersama-sama menjayakan filem dan drama saya. 

"Lakonan terakhir beliau bersama saya adalah filem 'Manap Karaoke' yang masih dalam proses penyuntingan," katanya. 

Pak Jabit terkenal menerusi lakonannya dalam filem-filem komedi arahan Mamat Khalid antaranya Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tujuh anak. 

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan