Images
  • shaheizy sam2
    (Gambar: Shaheizy Sam/Facebook)

Notis bankrap Shaheizy Sam disiarkan

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata tindakan mereka mengiklankan notis kebankrapan pelakon Shaheizy Sam dalam akhbar dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan.

Dalam petikan laporan Malaysiakini, Ketua Pegawai Eksekutif Perhubungan Awam Media LHDN, Masrun Maslim berkata, notis itu diterbitkan selepas lembaga itu mendapat kebenaran mahkamah mengenainya.

“Penyampaian ganti telah dimasukkan dalam sebuah akhbar tempatan pada 7 Ogos lalu. Penyampaian ganti bermaksud LHDN sudah mengikuti prosedur dan peroleh kelulusan mahkamah.

“Saya tiada penjelasan lain, cuma hendak maklumkan segala prosedur pemungutan LHDN telah dijalankan dengan sempurna dan teratur,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam (10 Ogos).

Encik Masrun diminta mengulas laporan media berhubung satu notis kebankrapan yang dikeluarkan LHDN terhadap pelakon Polis Evo itu.

Notis kebankrapan itu dikeluarkan terhadap Shaheizy melalui perintah mahkamah oleh kerajaan Malaysia di alamat penyerahan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Wangsa Maju, Unit Undang-Undang.

Bagaimanapun, Shaheizy atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abd Samad, 34, dalam kenyataannya kepada media mengakui tidak tahu menahu mengenai status dirinya yang diisytihar muflis.

Pada masa yang sama, katanya beliau belum menerima sebarang notis amaran sebelum ini.

Menurut Encik Masrun pula, LHDN tidak akan sesekali menyiarkan iklan berhubung kebrankapan tanpa maklumat terperinci.

“LHDN tidak akan mengeluarkan mana-mana notis dalam akhbar tanpa bukti asas yang kukuh.

“Dan apabila notis dikeluarkan bermakna semua tindakan pemungutan telah dilakukan dan ia dikeluarkan atas kebenaran mahkamah,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Encik Masrun menasihati orang ramai agar melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai rakyat negara ini bagi mengelakkan pengisytiharan bankrap.

“Kami nasihatkan mana-mana pembayar cukai selesaikan urusan percukaian mereka dan jangan sampai berlaku keadaan seperti ini.

“Bagi kes spesifik cukai seperti yang dimaksudkan, sila berhubung dengan cawangan Wangsa Maju untuk sebarang maklumat lanjut,” katanya kepada Malaysiakini.

- Agensi berita/IM/im

Komen Anda?

Top