Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Norish Karman akui hadapi masalah kewangan sejak bergelar ibu tunggal

Lakonan terakhir pelakon kelahiran Singapura, Norish Karman ialah menerusi drama bersiri Mok Cun yang diterbitkan satu setengah tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Norish Karman akui hadapi masalah kewangan sejak bergelar ibu tunggal

Gambar pelakon kelahiran Singapura, Norish Karmin. (Gambar-gambar: Norish Karman)

Diterbitkan : 14 Oct 2017 11:22PM Dikemas Kini : 14 Oct 2017 11:32PM

BERITAMediacorp: Lakonan terakhir pelakon kelahiran Singapura, Norish Karman ialah menerusi drama bersiri Mok Cun yang diterbitkan satu setengah tahun lalu.

Setelah itu, beliau seakan hilang dan menyepi dari dunia lakonan sehingga menimbulkan pertanyaan di kalangan peminat apakah Norish atau lebih senang disapa sebagai NK sudah berhenti berlakon. Atau tiada lagi menerima tawaran lakonan sehingga kini?

Buat masa sekarang ini, penonton hanya dapat menyaksikan Norish beraksi di kaca televisyen sebagai penyampai berita di saluran Bernama News.

Pertanyaan tersebut tidak terhenti di situ kerana pada musim Raya tahun ini, beliau memuatnaik sendiri posting di Instagram miliknya bahawa NK mengalami kesempitan wang dan pada mulanya tidak dapat pulang beraya ke Singapura. Apakah sebenarnya nasib yang telah menimpa ibu tunggal kepada 4 orang anak yang menuntut di sekolah Tahfiz ini?

Norish bergelar ibu tunggal setelah bercerai dengan suaminya, Dato Hashimuddin Abdul Kadir. BERITAMediacorp sempat menghubungi NK, yang masih menetap di Kuala Lumpur, untuk temubual ini.

NK kini aktif juga sebagai pengacara majlis dan pakar motivasi di Kuala Lumpur. Apakah NK tidak lagi menerima tawaran berlakon sekarang ini di seberang tambak sehingga menjejas keadaan ekonomi beliau?

"Saya menolak (tawaran berlakon). Baru-baru ini menolak 40 episod sebab jadual bertembung dengan jadual saya baca berita di TV,” kata beliau.

Jelas wanita berusia 43 tahun itu, jadual membaca berita ditetapkan setiap hari dan 'sangat disiplin’. Sebaliknya jadual untuk tawaran berlakon pula tidak tetap dan bertukar saban hari dan akan menjejas jadualnya untuk shif membaca berita.

"Kadang ramai pelakon yang datang lambat atau ada yang tak boleh hadir. Jadi faktor-faktor itu kadang tidak izinkan saya untuk berlakon jika ia tidak ada disiplin dengan jadual,” cerita beliau lagi.

Bernama News tidak pernah menghalangnya untuk berlakon, namun untuk sekarang ini NK bersikap praktikal dengan memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai pembaca berita dahulu memandangkan beliau diberi jadual tetap oleh pihak majikan.

Apakah berbaloi pengorbanan beliau itu?

Ini jawapan beliau kepada BERITAMediacorp: "Berbaloi itu subjektif. Nak ikutkan pembayaran lebih besar dari sumber lakonan. Besar juga pengorbanan masa penggambaran yang tak tetap. Allah selalu tentukan rezeki kita.

"Jangan risau apa yang kita tidak dapat. Allah akan tahu apa yang baik untuk kita. Nanti bila ada skrip yang baik, saya akan kembali ke situ jugak.”

Beliau tidak menafikan menghadapi masalah kewangan sejak bergelar ibu tunggal membesarkan 4 orang anak sehingga membuatnya secara terus-terang berkongsi status di Instagramnya pada musim Raya lalu.

Akuinya tanpa berselindung dalam wawancara tersebut: “Saya ‘breadwinner’ (pencari nafkah) untuk anak-anak. Tiada bantuan kewangan sehebat yang digembar-gemburkan di internet tentang saya dapat beribu-ribu sebulan sebagai nafkah anak-anak, mahupun kereta-kereta dengan segala kemewahan kerana bekas suami saya sedang melalui dugaan Allah SWT yang secara terang terkena tempias pada anak-anak dan diri saya."

MESKI SUDAH CERAI, BAIK DENGAN BEKAS SUAMI

Jelas NK lagi, urusan perniagaan bekas suaminya 'jatuh menjunam sangat' sehingga NK terpaksa menghantar dan menjemput anak-anak ke sekolah sendiri tanpa bantuan pemandu. NK juga menguruskan segala makan-minum anak -anak dan memberi tuisyen kepada mereka.

Meskipun sudah bercerai, hubungan NK bersama bekas suami baik-baik sahaja. Sambungnya:

"Saya faham dan saya redha membantu menjaga membesarkan anak-anak walau dalam keadaan seperit ini kerana saya faham akan situasi bekas suami yang mesti kami beri sokongan moral agar boleh bangkit semula setelah bisnis beliau kembali pulih’.
Anak-anak beliau adalah pencetus semangat kerana susah-senang mereka tetap bersama dalam apa jua keadaan.

"Kerana mereka juga saya masih tersenyum menghadapi segala dugaan Allah SWT. Ertinya, Allah amat sayangkan saya dan mau lebih baik dari saya sebelum Allah beri lebih baik untuk saya dan anak-anak saya,” akui Norish.

TAK TAKUT PANDANGAN MASYARAKAT?

Tidakkah NK risau tentang pandangan masyarakat terhadap posting jujurnya di Instagram bahawa beliau mengalami kesempitan wang kini memandangkan beliau adalah seorang 'public figure’ yang cukup dikenali di Singapura dan di seberang tambak?

Beliau menjelaskan ingin pengikut-pengikutnya ketahui keadaan sebenarnya bersama anak-anak:

"Dengan itu mereka tidaklah berpendapat kehidupan saya sebagai 'public figure' dikelilingi cerita yang indah-indah belaka dan tidak mempunyai masalah seperti orang lain. Tidak ada apa yang ingin disembunyikan. 'I am real!’.

Melalui laman sosial media, beliau dapat berkongsi suka-duka kehidupan ibu tunggal seperti beliau yang harus bekerja keras dan bertawakkal menjalankan tanggungjawab seharian. Untung beliau kekadang ada juga sahabat-sahabat yang membantu menjemput anak-anak dari sekolah sekiranya beliau belum tamat bertugas.

Untuk menjana pendapatan yang lebih, NK turut membuat perniagaan sampingan, iaitu penghantaran makanan setiap hari sekiranya ada tempahan makanan yang diterima di Instagram rasmi beliau Norish Karman (DWarrior Queen). Chef For Hire juga dilakukannya disebabkan minat memasak.

NORISH TAK MAHU KAHWIN LAGI?

Setelah sekian lama bergelar ibu tunggal, tidakkah beliau terfikir untuk mencari pengganti yang sekurang-kurangnya dapat membantu keadaan ekonomi NK sekarang ini?

Jawabnya dengan tenang tetapi yakin: "Buat masa ini saya tidak berminat memikirkan hal tersebut. Kebajikan anak-anak lebih penting. Lagipun, siapalah mampu mencintai anak-anak saya dengan segala yang kami lalui? Ada ke?"

NK sempat berpesan juga tentang negara tanah tumpah darahnya: "Saya amat merindui Singapura sangat. Semoga akan dapat banyak jemputan untuk menyanyi, berlakon atau memasak dari Singapura."

Tidakkah pernah beliau terfikir untuk pulang ke Singapura sahaja? Ini jawapan beliau.
"Sempit hanya pemikiran manusia. Bukan keadaan mahupun suasana. Saya akan berada di mana saya diperlukan, saya disayangi dan saya diingini." 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan