Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Nora Danish nikah hujung bulan ini?

Reaksi Nora Danish saat dihubungi oleh Berita Harian Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp cukup membuktikan beliau sebenarnya sedang menghitung hari untuk disatukan dengan cinta hatinya, Nedim Nazri. 

Anggaran Waktu Membaca:
Nora Danish nikah hujung bulan ini?

Nora Danish seakan-akan tidak menafikan berita yang mengatakan mereka dijangka berkahwin sama ada hujung bulan ini atau awal bulan depan. (Gambar: Nora Danish/ Facebook)

Diterbitkan : 06 Mar 2017 07:30AM Dikemas Kini : 06 Mar 2017 07:38AM

KUALA LUMPUR: Reaksi Nora Danish saat dihubungi oleh Berita Harian Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp cukup membuktikan beliau sebenarnya sedang menghitung hari untuk disatukan dengan cinta hatinya, Nedim Nazri.

"Insya Allah, itu saja," demikian jawapan ringkas Nora, seakan-akan tidak menafikan berita disiarkan dalam ruangan sebuah akhbar semalam (5 Mac), yang mengatakan mereka dijangka berkahwin sama ada hujung bulan ini atau awal bulan depan.

Menerusi temu bual terdahulu, Nora bagai turut memberikan bayangan mengenai hari bahagia dengan cinta hatinya itu.

"Memang belum ada sebarang kepastian mengenai soal perkahwinan ketika ini. Namun, saya berharap ia akan tetap dapat dilangsungkan pada tahun ini.

"Cuma, saya tidak mahu memaklumkan tarikhnya kerana bimbang ia tidak menjadi kenyataan," kata Nora, dalam petikan laporan Berita Harian Malaysia.

Pelakon berusia 34 tahun yang juga ibu tunggal kepada Putera Rayqal itu juga enggan berlebih-lebih dalam merencana majlis perkahwinannya.

Tegasnya, beliau hanya ingin melakukan perkara wajib, iaitu akad nikah. "Siapa yang tidak mahu berkahwin? Saya sendiri sudah bertahun-tahun mengatakan ingin berkahwin.

"Kalau semuanya dipermudahkan, saya hanya mahu majlis akad nikah yang diadakan di rumah secara kecil-kecilan dan seringkas mungkin," kata pelakon filem Surga Yang Tak Dirindukan 2 itu.

Menurut laporan Berita Harian Malaysia, selama menjalin cinta dengan lelaki terbabit, hubungan mereka turut diuji selepas dilaporkan putus sekitar Ogos 2015.

Bagaimanapun, hubungan itu berjaya diselamatkan kembali. Sebelum ini, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

Mereka berkahwin pada Jun 2006 dan bercerai kira-kira dua tahun kemudian. Nedim juga seorang duda anak satu selepas dikatakan bercerai dengan bekas isteri, Nabilah Khan, pada 2013. 

Sumber : Agensi berita/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan