Images
  • ND vs FS
    Fasha Sandha (kiri), Nora Danish (kanan). (Gambar: Instagram Nora Danish/Fasha Sandha)

Nora Danish failkan saman terhadap Fasha Sandha, penulis blog

KUALA LUMPUR: Pelakon Nora Danish memfailkan saman fitnah terhadap seorang lagi pelakon, Fasha Sandha, hari ini (13 Mei).

Tindakan itu diambil ekoran kenyataan tidak tepat yang ditulis oleh Fasha di Instagram miliknya semalam (12 Mei).

"Kerosakan sudah dibuat dan saya menerima impak teruk terhadap perniagaan dan maruah keluarga saya.

"Jadi saya telah mengupah peguam dan tindakan undang-undang telah diambil atas tuduhan fitnah yang dibuat terhadap saya," katanya mengikut laporan Astro Gempak.

Nora juga menjelaskan kejadian yang berlaku bukan berunsur sabotaj dan dia tiada masalah untuk berjumpa dengan pihak Fasha.

"Saya tiada masalah untuk berjumpa dengan dia (Fasha).

"Malah saya juga sangat bersedia untuk naik turun mahkamah jika perkara ini berlarutan," kata Nora ketika sidang media tergempar di Publika siang tadi.

Nora turut mengambil tindakan saman terhadap seorang penulis blog yang didakwa bertindak melampau dengan mengemaskini status berbaur fitnah dan berat sebelah.

"Kenyataan itu bersifat melulu dan memberikan reputasi tidak elok kepada saya, keluarga dan perniagaan saya.

"Mungkin akan ada sidang media seterusnya selepas ini tetapi saya tidak akan memberikan kenyataan lanjut lagi kerana ia membabitkan urusan undang-undang," kata pemilik jenama Owl by ND itu.

Perbalahan di media sosial antara Fasha dan Nora tercetus sejak semalam (12 Mei) apabila Fasha mula mengemaskini status berserta foto di Instagramnya, lapor Astro Gempak.

Dakwa Fasha ada artis yang jenamanya turut terbabit dalam pertunjukan fesyen Fenomena Aidilfitri 2017 akan menarik diri sekiranya dia hadir ke acara terbabit pada Rabu lalu (10 Mei).

“Pada mulanya pihak pengurusan jenama artis itu tidak mahu saya hadir ke majlis itu, tetapi mereka kemudian menukar fikiran dan membenarkan saya hadir.

“Saya benar-benar keliru dan kusut dengan situasi terbabit,” tulis Fasha di Instagram.

Suami Nora, Nedim bagaimanapun bertindak mempertahankan isterinya dalam kemaskini sekeping foto berserta status.

Menyusuli ketegangan yang berlaku antara Nora Danish dan Fasha Sandha, penganjur acara Fenomena Aidilfitri 2017 tampil memberikan kenyataan.

Pengarah Urusan Glass Go Media, Amiruddin Rizuan Ali, akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kemelut yang melanda dua selebriti itu.

"Kejadian yang berlaku tiada kena mengena dengan Nora Danish atau Fasha Sandha dan ia sebenarnya atas kelalaian daripada pihak saya.

"Pada malam tersebut tiada sebarang kejadian melibatkan tarik diri daripada pertunjukan fesyen mahupun halau-menghalau dan ia merupakan satu salah faham. Jadi, saya mengambil sepenuh tanggungjawab atas perkara yang terjadi dan akan cuba menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

"Saya memohon agar netizen dan peminat menghentikan spekulasi dan tidak terus menyebarkan fitnah," katanya dalam sidang akhbar tergempar tersebut.

- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top