Images
  • nick mikhail
    Pelakon Singapura Nick Mikhail. (Gambar: Facebook/ Nick Mikhail Razak)

Nick Mikhail jelaskan, "itu bukan ugutan" terhadap Zed Zaidi, Presiden Seniman

SINGAPURA: "Itu bukan ugutan." Demikian penjelasan pelakon Nick Mikhail berhubung komen Facebook Live beliau terhadap Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi.

Penjelasan itu juga dibuat menyusuli laporan polis yang dibuat oleh Persatuan Seniman terhadap Nick kerana dikatakan mengugut dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Zed.

Nick berkata demikian dalam temu bual secara langsung menerusi Facebook bersama BERITAMediacop awal pagi tadi (4 Ogos).

BUKAN UGUTAN TETAPI CABARAN

Nick mengakui mungkin imej beliau menjejas pemikiran pihak lain bahawa kata-kata yang dikeluarkan itu berbunyi ugutan walhal ia lebih kepada "cabaran" untuk Zed Zaidi.

Nick juga menjelaskan ayatnya "lu langgar Aliff, gua langgar lu. Lu datang sini, gua mahu tengok lu punya pancung" sebenarnya bermaksud "anda mengacau Aliff, saya mengacau anda. Anda datang ke sini, saya mahu lihat apa yang anda boleh lakukan.

"Itu bukan ugutan. Itu cabaran. Kalau ugut saya akan kata 'lu datang gua rembat', 'lu datang gua potong'. Jadi apa yang saya mengatakan itu hanyalah cabaran bukan ugutan. Mungkin imej saya atau bahasa samseng saya disalah faham orang," jelas beliau kepada BERITAMediacorp.

Nick juga mendakwa beliau hanya menunjukkan sikap samseng atau menggunakan bahasa itu kerana perkara yang sama dilakukan Zed dalam temu bualnya bersama laman Roti Kaya.

"Zed berkata 'kau buat sekali lagi, gua cari lu sampai dapat'. Itu ugutan. Beliau mengugut Aliff. Dan kata-kata sebegitu hanya samseng yang gunakan bukan seorang yang memegang jawatan Presiden. Anda pernah dengar Presiden berbual begitu? Kenapa itu tidak diperkatakan?" tambah Nick.


DEMI CINTA TERHADAP INDUSTRI, BAKAT TEMPATAN

Pelakon Singapura itu selanjutnya menjelaskan kepada BERITAMediacorp bahawa tindakan beliau menyuarakan pendapat di media sosial bukanlah untuk meraih populariti tetapi lebih kepada mempertahankan perjuangan seni bakat Singapura yang merantau ke negara orang.

Nick berkongsi meskipun orang ramai nampak bakat Singapura yang berjaya menempah nama di negara lain hidup senang sekarang, mereka tidak lihat kesusahan yang dilalui anak-anak Singa itu.

"Mereka harus merempat, tumpang tempat teduh, bermalam dalam kereta. Kita tidak tahu itu semua. Jadi apabila ada pihak kelihatan seperti menindas mereka, saya terpanggil untuk mempertahankan mereka. Biarlah saya kelihatan seperti orang yang jahat," luah Nick kepada BERITAMediacorp.

Beliau tidak akan mencampur tangan melainkan isu bakat Singapura ditindas dan sebagainya, menurutnya, sambil menambah beliau bertindak demikian kerana sangat mencintai industri seni dan bakat-bakat Singapura yang kerap tidak dipertahankan mana-mana pihak.

Demi cinta itu juga Nick akur bahawa perkara sebegini membawa kepada banyak berlakunya tempias kepada keluarga. Beliau sendiri mendakwa menerima banyak ugutan bunuh dan kata-kata kesat yang turut dilemparkan kepada anaknya.

"Anda rasa saya tidak terkesan? Orang kata macam-macam tentang anak saya, isteri saya. Saya terima ugutan seperti 'kau masuk JB kau mati', 'kau masuk KL kau mati'. Anda rasa saya tidak pernah terfikir diri saya akan ditikam dari belakang. Namun, siapa lagi yang akan mempertahankan anak Singa kita," katanya.


Lukisan Nick bersama anaknya. (Gambar: Facebook/ Nick Mikhail Razak)

TIDAK ADA MASALAH DENGAN WARGA, ARTIS M'SIA, SENIMAN

Nick, yang sebenarnya pernah menjadi anggota Seniman pada tahun 2002 hingga 2003, menyebut bahawa beliau tidak pernah ada masalah dengan negara, warga dan artis Malaysia.

Beliau juga menekankan bahawa beliau juga tidak ada masalah dengan Seniman dan sendiri menghargai layanan baik dan kenangan manis semasa beliau menjadi anggota persatuan itu.

Secara peribadi, menurut Nick, beliau memahami kenapa aduan itu dibuat dan memuji langkah itu kerana itulah perpaduan antara rakan dan keluarga yang harus ditonjolkan.

"Ingin saya menekankan sekali lagi, saya tidak ada masalah dengan warga, artis Malaysia dan Seniman. Jika ada yang tersinggung dengan video saya, saya meminta maaf," ujar Nick.

Apabila ditanya mengenai langkah seterusnya terhadap aduan polis berkenaan, Nick memberitahu BERITAMediacorp bahawa beliau sudah mendapatkan nasihat guaman dan akan memerhatikan perkembangan aduan tersebut di Malaysia.

"Mengenai isu Zed, saya hanya akan meminta maaf kepadanya jika beliau menarik balik kenyataannya terhadap Aliff, mengaku kata-katanya mungkin melampau dan seperti mengugut Aliff. Selepas itu, barulah saya akan meminta maaf kepadanya (Zed Zaidi)," kongsi beliau.  

LAPORAN BERKAITAN:

-Zed Zaidi kritik Aliff Aziz: 'Kali kedua kau buat, gua cari lu sampai dapat'

-Seniman buat aduan polis terhadap Nick Mikhail

- BERITAMediacorp/RU/ru

Komen Anda?

Top