Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Neelofa, Vivy Yusof tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017

Pelakon dan usahawan Malaysia, Neelofa, dan ikon fesyen, Vivy Yusof merupakan antara 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Neelofa, Vivy Yusof tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017

Antara selebriti berhijab yang mempunyai pengaruh yang sangat besar ke atas budaya pemakaian hijab. (Gambar-gambar: Instagram)

Diterbitkan : 13 Apr 2017 05:57PM Dikemas Kini : 13 Apr 2017 06:06PM

SINGAPURA: Pelakon dan usahawan Malaysia, Neelofa, dan ikon fesyen, Vivy Yusof merupakan antara 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 28 tahun, pengasas dan pengarah NH Prima International Sdn Bhd, disenaraikan di bawah kategori Runcit dan E-niaga.

Beliau menjalankan beberapa perniagaan termasuk jenama pakaian wanita Muslimah, "Neelofar Hijab".

Vivy Yusof, 29 tahun, pengasas FashionValet, iaitu laman yang memperkenalkan fesyen dari jenama-jenama terbaik Asia, juga disenaraikan dalam kategori yang sama dengan Neelofa.

Senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2017 itu menampilkan 300 golongan muda yang berdaya inovasi, usahawan dan peneraju yang membawa impak besar kepada dunia hari ini.

"MAHU BERI INSPIRASI KEPADA KAUM WANITA"

"Saya mahu menggunakan kejayaan saya sebagai contoh untuk memberi inspirasi kepada kaum wanita. Bukan saja untuk membuat duit tetapi juga untuk meningkatkan keyakinan diri, menjadi lebih kuat dan tidak semestinya bergantung kepada kaum adam," menurut Neelofa seperti yang dipetik dari laman Forbes.

Semua individu yang menerima penghargaan itu berusia di bawah 30 tahun dan dipilih oleh para penilai yang merupakan antara tokoh terkemuka dalam bidang mereka masing-masing.

Selain Runcit dan E-niaga, kategori lain termasuklah Teknologi Pengguna, Teknologi Perusahaan, Hiburan dan Sukan, Seni, Kewangan dan Modal Teroka, Industri, Pembuatan dan Tenaga, Penjagaan Kesihatan dan Sains, Usahawan Sosial dan Media, Pemasaran dan Pengiklanan.

GOLONGAN MUDA YANG BERINOVASI

"Senarai Forbes 30 Under 30 Asia tahun ini menonjolkan kepelbagaian bakat di rantau yang luas ini, dengan 300 usahawan muda mengagumkan daripada segenap lapisan masyarakat berusaha keras meningkatkan inovasi," kata Editor Kanan Digital, Asia at Forbes Media, Rana Wehbe dalam satu kenyataan.

"Suatu yang menarik adalah melihat bagaimana golongan muda ini menggunakan teknologi bagi menginovasikan industri mereka, memperkasakan masyarakat mereka dan menangani halangan budaya.

"Senarai tahun ini, terutamanya, menampilkan banyak individu wanita di Asia yang menyokong perubahan sosial, lari daripada stereotaip dan prejudis untuk memberi contoh positif apa yang boleh dicapai oleh wanita di rantau ini," katanya.

Turut termasuk dalam senarai 30 Under 30 Asia itu ialah Kavin Bharti Mittal dari India, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hike Messenger, Josiah Humphrey & Mark McDonald (Australia, Pengasas Bersama Appster), Suboi (Vietnam, artis Hip Hop) Liu Wen ( China, Supermodel Antarabangsa), Chenyao Zhou (China, Rakan Kongsi di Longling Capital), Gibran Huzaifah Amsi El Farizy (Indonesia, Pengasas eFishery), Yuki Shimahara (Jepun, Pengasas LPixel Inc), Daroath Phav (Kemboja, Pengarah WaterSHED), Hyungcheol Lim & Goeun Choe (Korea Selatan, Pengasas Bersama Gameberry).

Kriteria pemilihan bagi senarai tersebut termasuklah kepimpinan dan inovasi dalam bidang mereka, pemikiran keusahawan dan keputusan yang dicapai, serta kemungkinan menukar bidang mereka dalam tempoh separuh abad akan datang

Menurut Forbes, lebih 1,200 penyertaan diterima, tetapi hanya 300 pemohon memasuki senarai akhir.

Bagi mendapatkan senarai lengkap, berita rencana dan video eksklusif, boleh layari laman web www.forbes.com/30-under-30-asia/2017. 

Sumber : Bernama/ Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan