Images
  • nassier wahab

Nassier dituduh buat haji guna wang haram; gelaran datuk dipertikai

KUALA LUMPUR: Datuk Nassier Wahab terkilan apabila ada suara sumbang yang mempertikaikan sumber kewangan yang digunakannya untuk mengerjakan ibadah Haji hujung bulan lalu.

Datuk Nassier berkata bahawa beliau rasa kecil hati apabila ada yang menuduhnya mengerjakan ibadah haji menggunakan duit daripada sumber haram.

Isu ini dibangkitkan netizen apabila namanya dikaitkan dengan kontroversi membabitkan usahawan dan pelakon Datuk Boy Iman.

"Astaghfirullah, tergamak mereka menuduh saya guna duit haram hasil menipu orang ramai untuk buat Haji.

"Ya Allah, kecil hati saya apabila dituduh sedemikian rupa. Sedangkan saya gunakan duit simpanan sendiri.

"Kalau ikutkan duit simpanan saya sepanjang menjadi penghibur sudah lebih daripada cukup," katanya kepada mStar Online.

Datuk Nassier akui ia ujian dan dugaan terbesar dihadapinya sepanjang bergelar anak seni.

Isu ini dibangkitkan netizen kerana beliau merupakan duta kepada salah satu produk DBI milik Boy Iman.

Boy Iman menerusi syarikat miliknya iaitu DBI Property disiasat pihak berkuasa berhubung kes penjualan rumah murah.

GELARAN DATUK DIPERTIKAI NETIZEN

Dalam pada itu, Datuk Nassier yang berusia 55 tahun itu turut bersedih apabila ada yang mempertikaikan anugerah darjah kebesaran bergelar Datuk yang diterimanya.

"Selama 30 tahun saya berkecimpung dalam industri seni, ini merupakan penghargaan tertinggi yang diberi oleh Istana Pahang.

"Apabila ada yang mempertikaikan tentang darjah kebesaran yang diberi, mereka seolah-olah tidak menghormati institusi diraja. Sedangkan dalam hal ini, istana menghargai sumbangan anak seni.

Datuk Nassier diundang menjayakan persembahan bersempena Jubli Emas 50 tahun Sultan Brunei menaiki tahta di negara Brunei Darussalam pada 6 Oktober lalu.

"Saya bukan sahaja mempunyai hubungan yang baik dengan istana Pahang, malah sering diundang membuat persembahan di istana termasuklah istana Brunei," katanya.

Datuk Nassier dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, awal tahun ini.

Ditanya mengenai kedudukannya sebagai duta DBI Technology, Datuk Nassier memberitahu bahawa beliau akan mempertimbangkan jalan yang terbaik sebelum membuat keputusan.

"Pihak pengurusan syarikat memaklumkan akan adakan satu pertemuan apabila mereka sudah bersedia.

"Dalam hal ini, saya akan buat keputusan yang terbaik untuk semua pihak dan akan maklumkan kemudian," katanya yang mengikat kontrak sebagai duta sehingga pertengahan tahun depan.

- Agensi berita/SM/sm

Komen Anda?

Top