Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Nak cari kayu, nak cari kayu. Hetty Koes Endang tauke perabot kayu

Tren untuk artis-artis terkanal mahupun selebriti dari Singapura, Malaysia atau Indonesia menceburkan diri dalam bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang asing. 

Anggaran Waktu Membaca:
Nak cari kayu, nak cari kayu. Hetty Koes Endang tauke perabot kayu

Hetty Koes Endang (tengah) bersama suami dan anak perempuannya. (Gambar-gambar: Hetty Koes Endang)

Diterbitkan : 07 May 2017 11:16PM Dikemas Kini : 07 May 2017 11:33PM

BERITAMediacorp: Trend untuk artis-artis terkanal mahupun selebriti dari Singapura, Malaysia atau Indonesia menceburkan diri dalam bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang asing. Inilah peluang mereka untuk menjana pendapatan sampingan di samping kerjaya tetap mereka, sama ada sebagai seorang penyanyi mahupun pelakon di negara masing-masing.

Bagi penyanyi malar segar dan penghibur dari Indonesia iaitu Hetty Koes Endang, beliau memilih perniagaan menghasilkan perabot yang diperbuat dari kayu trembesi. Perniagaan yang sudah beliau lakukan sejak enam tahun lalu tetapi dalam diam-diam.

Ini walaupun penyanyi legenda ini masih lagi mempunyai ramai peminat serta pengikut, meskipun sudah 47 tahun berkecimpung dalam arena seni suara. Menceburi perniagaan perabot sebenarnya muncul secara kebetulan sahaja, kata Hetty.

Hetty Koes Endang (Gambar-gambar: Hetty Koes Endang)

Ketika itu, beliau dan suami tercinta, Yusuf Faishal sedang berada di villa mereka yang terletak di Cibodas, Bogor. Mereka kemudian terserempak dengan seorang warga tua yang membawa kayu bakar untuk dibakar pada musim hujan.

"Cuaca di Puncak dingin selalu. Yusuf bilang, ‘aduh, sayang kerana kualiti kayu itu bagus’. Akhirnya dia kata ‘sudah, saya beli aja kayu itu’ kepada warga tua itu," cerita Hetty kepada BERITAMediacorp dalam satu panggilan jauh ke Jakarta baru-baru ini,

(Gambar-gambar: Hetty Koes Endang)

Itulah titik tolaknya yang membuat Hetty Koes Endang serta suaminya, sehingga kayu pertama yang dibeli itu berjaya dihasilkan menjadi kerusi panjang sebagai percubaan pertama mereka ketika itu.

Lagipun, kayu trembesi amat berbeza dari kayu jati yang sering kita dengar dijadikan perabot. Hetty, yang bakal mencecah usia 60 tahun pada 6 Ogos ini, menjelaskan dengan bersungguh-sungguh:

"Di Indonesia ada kayu jati, ada juga kayu trembesi. Uratnya kayu trembesi ini kuat. Berbeda dari kayu jati, warnanya lembut. Pohonnya sudah 100 tahun. Kita beli pokok-pokok yang sudah tumbang. Bila orang masuk ke rumah kita dan lihat perabot kayu kita, mereka tidak lihat perabot dari Amerika (ketawa). Orang lebih tertarik kepada perabot yang diperbuat dari kayu trembesi kita!"

(Gambar-gambar: Hetty Koes Endang)

PT. Gaota Madresa Indonesia. Itulah nama yang diberikan kepada perusahaan perabot kayu trembesi milik Hetty.

Dengan perusahaan perabot ini, Hetty serta suami tidak ketinggalan mengamanahkan perusahaan perabot tersebut kepada kedua-dua anak kesayangan mereka iaitu Amir Mahmud Saatari dan Afifah Qomariah yang masing-masing sedang mendalami jurusan perniagaan.

"Yusuf bilang pada Amir, daripada kamu cari kayu di luar, lebih baik kamu guna kayu trembesi ini. Amir lulus pengajian ingin buat bisnes sendiri. Bapa serahkan semua bisnis perabot ke Amir untuk uruskan," ujar penyanyi yang memang peramah itu.

Sebagai ibu, sudah tentunya beliau ingin melihat anak-anak berjaya dengan meneruskan perniagaan keluarga mereka sendiri.

"Bahan sudah banyak. Ibu ada 300 keping meja. Ini untuk anak cucu kita dan tidak akan habis. Silakan kalian berdua putar otak bagaimana caranya membuat duit. Namanya bisnes, memang capek (penat). Harus mengolah otak mencari duit. Daripada mereka bingung bisnes apa, ini di depan mata mereka sudah ada bahan kayu," Hetty menjelaskan pemikirannya.

(Gambar-gambar: Hetty Koes Endang)

Meskipun masih lagi berpandukan tips selok belok perniagaan daripada bapa mereka, Amir, yang masih lagi bujang, sudahpun mempunyai pasukan dan syarikat sendiri untuk memasarkan perabot mereka ke seluruh Indonesia, Malaysia dan Singapura juga. Cuma sekarang ini perniagaan kurang rancak sedikit disebabkan oleh keadaan ekonomi yang agak malap, akui Hetty.

Sebagai sebahagian daripada strategu perniagaan, selain menghasilkan perabot-perabot besar, Amir juga memberi fokus kepada perabot jenis 'minimalist’ - sesuai untuk golongan muda.

HETTY: SAMPAI MATI, BARULAH BERHENTI MENYANYI

Namun bagi sang ibu, nyanyian tetap menjadi kerjaya utama beliau meskipun sudah selesa memiliki perniagaan perabot. Hetty yang sinonim dengan lagu-lagu keroncong, pernah digandingkan bersama Dato Siti Nurhaliza dan papa rock, Datuk Ramli Sarip pada tahun 2015, menerusi konsert Satu Suara Vol.2 di Kuala Lumpur.

Dengan nada sedikit tegas beliau memberitahu BERITAMediacorp: "(Saya tetap dengan professi (saya) sebagai penyanyi, tidak terganggu. Undangan nyanyian tetap (saya) terima. Sampai mati, barulah (saya) berhenti menyanyi, selagi ada yang minta ibu menyanyi. Alhamdulillah, rezeki (saya)."

(Gambar-gambar: Hetty Koes Endang)

Namun demikian beliau akur, setiap hari, keutamaan tetap diberikan kepada statusnya sebagai seorang ibu dan isteri.

Dengan sokongan daripada suami serta anak-anaklah itulah, beliau memenuhi undangan menyanyi di Singapura dan juga seluruh Malaysia, jika ada undangan. Terlepas rindu juga beliau kepada para peminat di luar Jakarta katanya, mengakhiri wawancara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan