Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Najib ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Jins Shamsuddin; takziah mencurah-curah dari barisan pelakon

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seniman legenda, Jins Shamsuddin.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Jins Shamsuddin; takziah mencurah-curah dari barisan pelakon

Lagenda perfileman Allahyarham Jins Shamsuddin. (Gambar: Facebook/Taiko Tai)

Diterbitkan : 02 Mar 2017 11:52AM Dikemas Kini : 02 Mar 2017 11:53AM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Najib Razak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seniman legenda, Jins Shamsuddin yang meninggal dunia pada Rabu (1 Mac) kerana sakit tua.

"Sedih terima berita seniman Tan Sri Jins Shamsuddin telah pulang ke rahmatullah. Takziah kepada keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah," katanya dalam catatan Twitternya, malam semalam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi akaun Twitternya turut mengucapkan takziah kepada keluarga seniman agung itu.

"Takziah keluarga Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin. Semoga dicucuri rahmat ke atasnya. Jasa seniman negara dikenang sepanjang zaman. Al Fatihah," katanya.

Jins Shamsudin, 81 tahun, meninggal dunia ketika hendak mendapat rawatan di sebuah klinik di Taman Melawati petang semalam.

Allahyarham pernah diberi penghormatan tinggi oleh kerajaan apabila beliau dilantik menjadi Senator, selama dua penggal mulai 2004 hingga 2011, sebagai mewakili masyarakat perfileman serta menjadi pelakon filem yang pertama mendapat status itu.

Selain itu, Allahyarham yang dilahirkan di Taiping, Perak, turut dianugerahi gelaran Seniman Negara oleh kerajaan pada 2009 atas sumbangannya pada kemajuan industri filem negara.

Allahyarham meninggalkan isteri Puan Sri Halijah Abdullah dan tiga anak iaitu Putera Jefri Jins, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

RAKAN ARTIS TURUT UCAPKAN TAKZIAH

Sementara itu, rakan-rakan artis turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergian pelakon legenda itu sebagai satu kehilangan besar kepada industri filem negara.

Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy berkata beliau tidak akan lupa segala tunjuk ajar Allahyarham yang banyak membantunya dalam bidang lakonan.

"Saya masih ingat lagi waktu penggambaran Ali Setan, Allahyarham (pengarah filem itu) cukup tegas bagi memastikan saya memainkan watak Asmidar dengan baik," katanya ketika ditemui Bernama di rumah Allahyarham malam semalam.

Ogy turut berharap agar anak Allahyarham, Putera Hang Jebat meneruskan legasi ayahandanya dalam industri filem negara.

Pengarah filem Datuk Yusof Haslam pula berkata beliau banyak belajar daripada Allyarham dalam bidang seni dan arahan lakonan. 

Sumber : Bernama/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan