Images
  • anugerah group
    Sabariah Ramilan, Ketua Mediacorp Eaglevision; Zakiah Halim, Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp; Mohd Shahfiq, juara Anugerah 2017, Prashan Chitty, CEO Paranormal Talents Sdn Berhad; Liwani Izzati, tempat ketiga Anugerah 2017 dan Sabariah Hirma, Pengarah S.RIA Productions. (Gambar: Mediacorp Suria)

Mohd Shahfiq, Liwani Izzati tandatangan kontrak dengan Paranormal Group M'sia, S.RIA Productions

BERITAMediacorp: Juara Anugerah 2017, Mohd Shahfiq, menandatangani kontrak rakaman dan pengurusan dengan Paranormal Records pada petang Khamis (13 Apr).

Paranormal Records adalah sebuah syarikat berpangkalan di Malaysia, yang sudah membantu membangunkan kerjaya para penyanyi seperti Ayda Jebat dan Elizabeth Tan.

Kontrak bagi Mohd Shahfiq itu adalah sebagai sebahagian daripada hadiah kemenangan bagi juara pertandingan nyanyian tersebut.

Sesi tandatangan kontrak yang diadakan di Kampus Mediacorp itu, juga dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Paranormal Group Malaysia, Encik Prashan Chitty, dan Pengarah Urusan, S.RIA Productions, Cik Sabariah Hirma.

Encik Prashan Chitty, yang turut dikenali sebagai Melakaboy, berkata: “Kami berasa teruja atas kerjasama dengan Mediacorp dan juga mengalu-alukan pelancaran lagu oleh Mohd Shahfiq dan Liwani Izzati. Bakat-bakat Anugerah sudah menunjukkan keghairahan sepanjang pertandingan itu dan saya benar-benar percaya bahawa mereka dapat memberikan nafas baru kepada dunia muzik Melayu.”

Mohd Shahfiq turut merangkul hadiah kemenangan berupa S$20,000 wang tunai dan sebuah trofi selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan Anugerah 2017.

Sesi tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua, Penyiaran Melayu Mediacorp, Cik Zakiah Halim dan Penolong Ketua, Penyiaran Melayu Mediacorp, Encik Ezra Farabi.

Cik Zakiah berkata: “Anugerah 2017 sudah menyerlahkan bakat-bakat baru dan muda dan kami bangga untuk meneruskan dengan rakaman dan pengurusan bakat bagi para pemenang ini. Kami amat mengalu-alukan single mereka, sedang mereka mencipta nama dalam arena muzik.”

Pemenang tempat ketiga, Liwani Izzati juga menandatangani kontrak rakaman dan pengurusan bernilai S$10,000 di bawah naungan Paranormal Records, selepas dipilih oleh syarikat tersebut.

Pada peringkat akhir Anugerah 2017, Liwani turut mengungguli carta undian sekaligus membawa pulang kemenangan bagi anugerah khas media sosial, Anugerah Media Sosial One Drop Perfumes. Beliau juga memenangi wang tunai berjumlah S$2,000 dan sebuah trofi.

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top
>