Images
  • bella hadid
    Model terkenal Bella Hadid yang berdarah kacukan Belanda-Palestin. (Gambar: Bella Hadid/ Instagram)

Model terkenal Bella Hadid "bangga jadi Muslim", buka mulut tentang agamanya

LONDON: Model terkenal Bella Hadid membuka mulut tentang pengalaman bapanya sebagai pendatang dan juga agamanya, Islam dalam satu wawancara ringkas.

Meskipun beliau antara bintang fesyen ternama di dunia, masih banyak lagi yang perlu difahami tentang model berusia 20 tahun itu, yang tidak pernah berbincang secara terbuka tentang agamanya sehingga kini.

Beliau, kakaknya Gigi dan saudara lelakinya Anwar adalah kacukan Belanda-Palestin, anak kepada Yolanda - bintang rancangan realiti - dan Mohamed Hadid - pemilik syarikat hartanah yang dianggarkan bernilai $200 juta, menurut laporan laman The Independent.

Encik Mohamed Hadid dilahirkan di Nazareth dan menetap di Syria dan Lubnan sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat pada usia 14 tahun.

Kisah warisan bapanya merupakan topik perbualan yang dekat di hati Bella dan beliau mengongsikannya serta bagaimana ini mencorak didikan yang diterimanya secara terbuka menerusi satu wawancara majalah, lapor laman Saudi Gazzette.

"Bapa saya seorang yang kuat beragama dan beliau sentiasa bersembahyang bersama kami. Saya bangga menjadi seorang Muslim," Bella memberitahu majalah Porter.


(Gambar: Bella Hadid/ Instagram)

Maka, apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan larangan imigresen pada bulan Januri lalu, Bella dan Gigi turun padang menyertai tunjuk perasaan 'No Ban No Wall' yang diadakan di New York.

Bagi Bella, isu tersebut agak peribadi memandangkan bapanya sendiri pernah menjadi seorang pendatang.

"Bapa saya dahulu seorang pendatang sebelum beliau tiba ke Amerika, maka isu ini sesuatu yang dekat di hati saya, kakak dan saudara lelaki saya," tambah beliau.

Sebelum ini, Bella pernah mendedahkan keputusannya untuk menyertai tunjuk perasaan itu, sambil menjelaskan kepada majalah Elle "latar belakangnya yang pelbagai" mengajar beliau bahawa semua orang "layak dihormati dan dilayan dengan baik".

Beliau menambah: "Kita tidak boleh melayan orang lain seolah-olah mereka tidak layak menerima kebaikan hanya kerana latar belakang etnik mereka. Ini tidak betul. Mesej yang mengajak supaya kita bersikap belas ihsan pada bila-bila masa yang boleh begitu penting bagi saya."

- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top
>