Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Membosankan kalau tiada kritikan, kata Pengarah filem terkenal, Razak Mohaideen

Kehebatan pengarah bernama Dato Profesor Dr A.Razak Hj Mohaideen dalam industri perfileman di seberang tambak tidak perlu disangkal lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Membosankan kalau tiada kritikan, kata Pengarah filem terkenal, Razak Mohaideen

(Gambar-gambar: Dato Professor Dr. A.Razak Hj Mohaideen)

Diterbitkan : 14 Mar 2017 11:28PM Dikemas Kini : 14 Mar 2017 11:38PM

BERITAMediacorp: Sudah mengarahkan sebanyak 41 buah karya, khususnya filem-filem layar perak. Filem-filem beliau berjaya mendapat kutipan box-office dan menjulang tontonan tertinggi di pawagam-pawagam.

Maka itu, kehebatan pengarah bernama Dato Profesor Dr A.Razak Hj Mohaideen dalam industri perfileman di seberang tambak tidak perlu disangkal lagi. Filem-filem terkini beliau termasuklah Soulmate Hingga Jannah lakonan Taufik Batisah dan Raja Ilya, serta filem Badang yang turut dibintangi Fasha Sanda.

(Gambar-gambar: Dato Professor Dr. A.Razak Hj Mohaideen)

Selain menjadi pengarah, Prof Razak juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai jururunding skrip dan penulis di Malaysia. Filem arahannya berjudul Anak Mami the Movie dilaporkan mencapai kutipan sejumlah 3.8 juta Ringgit Malaysia suatu ketika dulu. Filem komedi fantasi berjudul Duyung yang dibintangi oleh Maya Karin dan pelawak Saiful Apek pula berjaya mendapat tempat di kalangan penonton wayang apabila ia ditayangkan pada umum pada Mac 2008.

FORMULA RAZAK MOHAIDEEN

BERITAMediacorp menghubungi pengarah tersohor itu baru-baru ini untuk bertanyakan kriterianya sehinggakan sesebuah karya arahannya boleh ‘meletop’. Ini yang beliau kongsi: 

“Filem yang berjaya bukan sahaja menghiburkan. Objektif utamanya adalah untuk menghiburkan dan menyampaikan maklumat dan perlu sampai pada sasaran audiens. Jadi apabila ketiga-tiga ini dicapai, ia dianggap sebagai sebuah filem yang berjaya.”

(Gambar-gambar: Dato Professor Dr. A.Razak Hj Mohaideen)

Rating sesebuah filem juga penting sebagai kayu ukur untuk menilai sama ada sesebuah filem itu dianggap sebagai berjaya atau tidak. Pengarah yang juga Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara di Shah Alam itu menambah:

“Kalau kita lihat pandangan ramai, filem yang berjaya berbeza-beza mengikut tafsiran. Bagi saya, filem itu perlu mendapat tontonan yang ramai tidak kiralah ditayangkan di pawagam atau televisyen.”

(Gambar-gambar: Dato Professor Dr. A.Razak Hj Mohaideen)

MELAYU ADA SUPERHERO TERSENDIRI

Antara filem yang beliau rasakan berjaya menambat hati penonton ke pawagam ialah filem Duyung arahannya yang berjaya mendapat kutipan mencecah lebih enam juta ringgit di Malaysia sebelum ini.

“Duyung mempunyai sinematografi menarik dan cara penghasilannya agak sukar kerana ‘shot-shot’ yang perlu dilakukan di permukaan laut, di dalam laut dan di tepi pantai,” kata Prof Razak.

Dari pengamatan beliau, filem terkini arahannya iaitu Badang yang bakal ditayangkan kepada umum pada penghujung tahun ini lakonan usahawan kosmetik Dato Aliff Syukri dan aktres jelita Fasha Sandha mampu diterima baik oleh penonton.

Hakikatnya, beliau inginkan “watak Badang yang popular” tapi bukan seorang pelakon untuk wujudkan satu simbol superhero.

“Kita jarang mempunyai superhero kita yang tersendiri di rantau Asia Tenggara kalau bandingkan dengan Hollywood yang ada Superman, Spiderman dan Iron Man,” akui seniman mapan itu.

Sebagai pengarah, beliau juga inginkan seseorang yang “bukan pelakon tetapi popular dan pada waktu yang sama boleh dibentuk menjadi pelakon” untuk memegang watak utama sebagai Badang.

(Gambar-gambar: Dato Professor Dr. A.Razak Hj Mohaideen)

DATO ALIFF SYUKRI LAYAK JADI BADANG?

Watak Badang itu akan dimainkan oleh Dato Aliff Syukri yang berusia 29 tahun. Beliau ditawarkan watak Badang meskipun pada mulanya agak keberatan kerana tidak pernah berlakon sebelum ini.

Apakah Prof Razak Mohaideen bersedia menghadapi pandangan sinis sesetengah pihak mengenai pemilihan Dato Aliff Syukri nanti untuk filem Badang?

“Memang asam garamlah bila kita keluarkan filem, ramai yang tugasnya hanya mencari kelemahan dan juga mengkritik karya seseorang. Ada juga yang suka cari kelemahan semata-mata tanpa melihat pada kekuatan cerita. Saya percaya watak Badang ini adalah untuk orang yang dikenali tapi bukan seorang pelakon.

“Dato Aliff mempunyai ramai pengikut, ramai yang kenali beliau tapi bukan sebagai pelakon. Itu yang saya kehendaki. Kalau tidak ada yang komen, ia adalah sesuatu yang membosankanlah,” kata karyawan berusia 52 tahun itu.

(Gambar-gambar: Dato Professor Dr. A.Razak Hj Mohaideen)

Pemilihan usahawan kosmetik Dato Aliff Syukri untuk watak utama itu juga adalah sebahagian dari strategi pemasaran filem tersebut rupa-rupanya.

Menurut pengarah kelahiran Pulau Pinang itu, Dato Aliff mempunyai peminat yang bukan sahaja dari golongan kanak-kanak tetapi sehingga golongan dewasa dan berumur.

“Apa yang kita cuba lakukan ialah supaya dapat menarik lebih ramai penonton yang melebihi umur 30 tahun untuk ke pawagam menonton filem dan salah satu strateginya ialah mendapatkan pelakon yang dikenali dan mempunyai peminat dari pelbagai peringkat usia,” jelas Prof Razak yang juga bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA sejak suku abad yang lalu.

(Gambar-gambar: Dato Professor Dr. A.Razak Hj Mohaideen)

JANGAN JADI ‘KEYBOARD WARRIOR’ SAJA

Berpegang kepada prinsip bahawa setiap karya arahannya tidak hanya dilihat kerana hasilnya sendiri tetapi juga, karya tersebut dapat dilihat sebagai satu hasil produk komersil yang boleh dikomersilkan “yang boleh menghasilkan pendapatan dan yang akan membantu pelajar-pelajar dari sudut pekerjaan dalam industri kreatif”.

Menyedari bahawa karya-karya arahan beliau tetap akan dikritik oleh sesetengah pihak, Dato Professor Dr A.Razak sempat berpesan:

“Nasihat saya kepada kumpulan yang suka mengkritik. Pergilah ke lokasi penggambaran, belajarlah cara mengarah, tengok betapa susahnya untuk menghasilkan sebuah filem. Ini masalahnya apabila kita jadi ‘keyboard warriors’ tanpa ketahui kesukarannya. Maka ia akan membuat anda bercakap.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan