Images
  • mawi maya karin
    Penyanyi Mawi dan pelakon Maya Karin bakal membintangi filem Munafik 2. (Gambar-gambar: Instagram/ Mawi/ Maya Karin)

Mawi, Maya Karin bakal bintangi filem 'Munafik 2'

AMPANG: Penyanyi Mawi menerima tawaran untuk berlakon dalam filem Munafik 2 selepas tujuh tahun tidak terlibat dalam bidang lakonan.

Menurut Mawi, 36 tahun, beliau menerima tawaran berkenaan atas dasar persahabatan yang dibina dengan pengarah filem tersebut iaitu Syamsul Yusof sejak bekerjasama menerusi lagu Kalah Dalam Menang.

Dalam petikan laporan mStar, Mawi berkata: "Saya dipelawa untuk terlibat dalam filem ini oleh Syamsul bulan lalu. Pada mulanya kata Syamsul watak tersebut kecil sahaja tetapi setelah skrip ditulis, ia menjadi besar dan mempunyai banyak babak.

"Saya terima tawaran ini sebab kami sudah berkawan baik. Saya akui lebih selesa bekerjasama bawah arahan pengarah yang saya kenal berbanding yang tidak kenal. Lagi pula saya rasa ini peluang yang baik," ujarnya.

Mawi, atau nama sebenarnya Asmawi Ani, kali terakhir terlibat dalam filem Magika pada tahun 2010.


Barisan pelakon filem Munafik 2. (Gambar: Instagram/ Maya Karin)

MAYA KARIN PEGANG WATAK UTAMA

Dalam laporan lain, pengarah Syamsul Yusof berkata Maya Karin turut dipilih untuk memegang watak utama bagi Munafik 2.

Malah, beliau berkongsi sudah lama menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan Maya Karin.

"Saya memang sudah lama ingin berkerjasama dengan Maya tetapi tidak ada rezeki dan tidak sangka kali ini dia bersetuju untuk terlibat. Dia juga sebenarnya baharu sahaja menerima tawaran ini.

Cabaran saya ialah menjadikan karakter dia lain daripada watak-watak seram yang pernah dilakonkan sebelum ini," ujarnya dalam tukilan laporan mStar

Dalam pada itu, Syamsul berkata, seorang pelakon Indonesia popular iaitu Luna Maya juga mungkin terlibat dalam filem tersebut.

"Insya-Allah Luna Maya akan terlibat juga dalam filem ini tapi watak dia tidak terlalu banyak cuma beberapa babak sahaja.

"Saya sudah cuba untuk merisik beberapa pelakon Indonesia lain tapi mereka kurang berminat kerana watak jahat dan tidak besar," ujarnya.

Menurut laporan mStar, filem yang bakal menelan belanja RM2.5 juta (S$793,000) itu melibatkan barisan pelakon lain seperti Fauzi Nawawi, Nasir Bilal Khan dan Fizz Fairuz.

Filem genre seram berunsur Islam itu juga akan memulakan penggambaran selama 50 hari bermula 20 Mac ini.

- Agensi berita/im

Komen Anda?

Top